USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: KPT FOKUS TINGKATKAN GRADUAN DENGAN GAJI PREMIUM

Utusan Malaysia
KPT fokus tingkatkan graduan dengan gaji premium
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR | 1 November 2023


MOHAMED Khaled Nordin (dua dari kiri) menyaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Tinggi, Datuk Megat Sany Megat Ahmad Supian (kiri) menukar memorandum persefahaman (MoU) bersama Presiden Sirim Berhad, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad (kanan) pada Persidangan Pasaran Kerja Graduan 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan kepada peningkatan peratusan graduan memperoleh gaji premium atau RM4,000, bukan lagi menambah bilangan kebolehpasaran bakal tenaga kerja.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penanda aras baharu tersebut bertujuan memastikan para graduan mendapat gaji yang lebih baik sebelum melangkah ke pasaran kerja.

Katanya, buat permulaan beberapa kerjasama strategi dirintis antara institusi pengajian tinggi dan pihak industri ke arah sasaran gaji premium serta membabitkan sektor tertentu.

“Kita sedar ia tidak berlaku secara automatik, banyak perlu dilakukan. Kita tidak boleh elak untuk memastikan ia tercapai, mesti menjalinkan kerjasama dengan pihak industri.

“Ia tidak boleh guna kaedah lama, kena buat secara spesifik. Oleh itu pada hari ini kita lihat bagaimana kita lantik Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menerajui program latihan graduan dalam sektor elektrik dan kejuruteraan.

“Bagaimana pelajar bidang ini akan dipadankan dengan semua industri terlibat, dengan demikian mereka dapat peluang dilatih seterusnya mendapat peluang pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pasaran Kerja Graduan 2023, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya melaksanakan projek perintis gaji premium apabila berjaya melahirkan 40 graduan yang memperoleh pendapatan RM4,000.

Kata beliau, sasaran gaji premium bakal diperluas kepada sektor halal setelah kini berjaya dilakukan membabitkan graduan jurusan elektrik dan kejuruteraan.

“Sekarang beberapa universiti telah mencapai beberapa angka, difahamkan UTM telah mencapai dekat 30 peratus dan bakal disusuli universiti lain. Kita sedang menambah baik usaha ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengariskan empat strategi bagi memastikan kualiti graduan dilahirkan adalah seiring dengan tuntutan pasaran kerja sekali gus dapat mengurangkan pengangguran dan underemployment.

Katanya, antara strategi itu semakan berkala kandungan dan kualiti pengajian yang dilihat kritikal bagi memastikan kurikulum ditawarkan adalah relevan dan terkini serta selaras dengan kemajuan teknologi Revolusi Industri Keempat (IR4.0)

Selain itu, katanya, merancakkan kerjasama erat dengan industri dan rentas kementerian serta agensi.

“Kita bukan sahaja membawa pelajar dan bakat yang kita ada untuk terus dilatih dan dibangunkan secara bersama oleh industri.

“Malah, kita akan memberi fokus dan menyusun strategi dengan melihat sesuatu bidang atau industri secara khusus dan terperinci,” katanya.

Beliau berkata, strategi seterusnya adalah memantapkan platform yang berupaya memadankan industri dan graduan.

“Antara inisiatif berfokus yang dilakukan adalah mengusahakan pemadanan pekerjaan bagi graduan yang berpotensi untuk diserap ke dalam industri,” katanya. – UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 324

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024