USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: KPT PERLUAS POTENSI GAJI PREMIUM RM 4,000 UNTUK GRADUAN

Berita Harian
KPT perluas potensi gaji premium RM4,000 untuk graduan
Oleh Ilah Hafiz Aziz | 1 November 2023

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) ketika gimik perasmian di Majlis Perasmian Persidangan Pasaran Kerja Graduan PPKG 2023 di Kuala Lumpur. NSTP/Eizairi Shamsudin
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) ketika gimik perasmian di Majlis Perasmian Persidangan Pasaran Kerja Graduan PPKG 2023 di Kuala Lumpur. NSTP/Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang bekerjasama dengan beberapa industri utama negara untuk mencari potensi penawaran gaji premium melebihi RM4,000 kepada graduan baharu lepasan institusi pengajian tinggi (IPT).

Antara industri yang sedang diteliti adalah seperti dalam sektor halal, kewangan dan perbankan, pengangkutan dan audit standard.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia susulan kejayaan projek perintis gaji premium membabitkan sektor elektrik dan kejuruteraan membabitkan beberapa universiti seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Katanya, projek perintis itu berjaya apabila melahirkan 40 graduan yang memperoleh gaji premium atau RM4,000.

"Kita sudah melakukan pilot projek dan lebih 40 (graduan) keluar mendapat gaji RM4,000. Ketika ini terdapat 70 orang sedang menjalani latihan, tetapi keperluan akan melebihi 800 pada setiap tahun.

"Sekarang beberapa universiti juga sudah mencapai beberapa angka, difahamkan UTM telah mencapai dekat 30 peratus dan bakal disusuli universiti lain. Kita sedang menambah baik usaha ini," katanya kepada pemberita dalam Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) 2023, di sini hari ini.

Yang turut hadir adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal; Pemangku Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Mohamed Khaled berkata, sasaran KPT hari ini, bukan lagi mahu menambah bilangan kebolehpasaran bakal tenaga kerja, tetapi menyasarkan kepada peningkatan peratusan graduan memperoleh gaji premium atau RM4,000.

"Kita sedar ia tidak berlaku secara automatik kerana banyak lagi yang perlu dilakukan dan kita tidak boleh elak untuk memastikan ia tercapai, mesti menjalinkan kerjasama pihak industri.

"Malah, kita tidak boleh lagi menggunakan kaedah lama, tetapi ia perlu dilakukan secara spesifik. Antaranya, kita lantik Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menerajui program latihan graduan dalam sektor elektrik dan kejuruteraan.

"Bagaimana pelajar bidang ini akan dipadankan dengan semua industri terbabit, dengan demikian mereka dapat peluang dilatih seterusnya mendapat peluang pekerjaan," katanya.

  • Created on .
  • Hits: 289

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024