USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: KERJASAMA KPT, INDUSTRI JUMLAH SISWAZAH CAPAI GAJI PREMIUM

Astro Awani
Kerjasama KPT, industri tingkat jumlah siswazah capai gaji premium
Oleh Bernama | 1 November 2023

Kerjasama KPT, industri tingkat jumlah siswazah capai gaji premium
Khaled berkata ini bagi memastikan siswazah yang dilahirkan memiliki kemampuan dan bercirikan industri tersedia, menerusi pelaksanaan kaedah lebih berfokus, bersasar dan menjawab keperluan industri secara langsung. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yakin berada di landasan tepat dalam usaha menyasarkan peningkatan peratusan siswazah yang memperoleh gaji premium RM4,000 sebulan, dengan merancakkan hubungan bersama pihak industri serta melaksanakan langkah spesifik dan strategik.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini bagi memastikan siswazah yang dilahirkan memiliki kemampuan dan bercirikan industri tersedia, menerusi pelaksanaan kaedah lebih berfokus, bersasar dan menjawab keperluan industri secara langsung.

Sebagai contoh, katanya Universiti Sains Malaysia (USM) telah memulakan projek rintis dengan penubuhan Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri KPT dalam pembangunan bakat ‘sedia untuk industri’ bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E).

"Menerusi projek rintis ini, lebih kurang 40 siswazah dilahirkan dan mendapat gaji kira-kira RM4,000. Sekarang ini, ada lebih kurang 70 hingga 80 orang sedang jalani latihan tapi keperluan industri melebihi 200 orang, boleh mencecah 900 orang. USM sudah tentu tidak dapat bekalkan semua ini, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) anjuran KPT dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bertujuan mengenal pasti dan membincangkan maklumat berkaitan pasaran kerja masa hadapan bagi siswazah.

Mohamed Khaled berkata KPT turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) merangkumi pelbagai program termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), perkhidmatan perundingan, pensijilan kualiti dan pengiktirafan yang berkaitan.

Menurutnya beliau dimaklumkan SIRIM memerlukan kira-kira 1,000 siswazah setahun bagi melakukan kerja audit untuk syarikat yang memohon pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO) dengan gaji RM1,500 sehari.

Ditanya peratusan lepasan universiti yang mencapai gaji premium ketika ini, beliau berkata Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika ini misalnya sudah mencapai 30 peratus, manakala universiti lain pada tahap 10 hingga 15 peratus.

"Jadi usaha untuk pastikan siswazah dapat gaji premium ini tidak datang secara automatik tapi kena ada kerjasama dengan industri secara khusus, spesifik dan strategik," katanya.

Mohamed berkata KPT turut mewujudkan platform digital Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEM) yang membolehkan pengguna terutamanya lepasan universiti di bawah KPT memohon peluang latihan amali dan pekerjaan serta memudahkan industri mengenal pasti siswazah yang memenuhi kriteria.

PPKG juga bertujuan mendapatkan intervensi terbaik bagi KPT dalam meningkatkan kebolehpasaran siswazah, serta menentukan penyelesaian terbaik bagi isu berkaitan ketidaksepadanan pekerjaan dengan kemahiran, gaji permulaan, nilai tambah dan pelbagai lagi.

Persidangan berkenaan turut dibantu rakan strategik KPT iaitu Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan LinkedIn Malaysia.
-- BERNAMA

  • Created on .
  • Hits: 199

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024