USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: NC USM TERIMA DARJAH KEBESARAN NEGERI, JADI PEMBAKAR SEMANGAT BINA ANAK BANGSA

Berita RTM
NC USM terharu terima Darjah Kebesaran Negeri, jadi pembakar semangat bina anak bangsa
17 October 2023


(Professor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed)

GEORGE TOWN, 17 Oktober- Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed antara yang menerima Darjah Kebesaran Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun ke-74 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau yang telah menerbitkan lebih 500 hasil penyelidikan serta prosiding persidangan itu dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Anak jati Pulau Pinang berusia 59 tahun itu juga turut mengungguli Anugerah Highly Cited Researcher oleh Clarivate bagi tahun 2018, 2019 dan 2021.

Selain itu, beliau juga telah menerima lebih 80 geran penyelidikan daripada organisasi nasional dan antarabangsa bernilai lebih RM25 juta.

Pencapaian penyelidikan yang cemerlang membawa beliau memenangi lebih 60 anugerah dan pengiktirafan sehingga ke peringkat antarabangsa antaranya Anugerah Malaysia Toray Science Foundation dan Top Research Scientists Malaysia serta Malaysia’s Rising Star Award.

Menurutnya, pelbagai rintangan perlu dilalui untuk mencapai kejayaan namun beliau sangat berbangga kerana berpeluang untuk menyumbang dalam bidang ilmu pengetahuan.

“Saya amat terharu dan berterima kasih atas penghargaan ini. Ia menjadi antara pengiktirafan yang cukup besar sepanjang karier saya dalam bidang pendidikan dan membina anak bangsa.

“Ia satu perjalanan yang penuh liku-likunya namun saya berbangga kerana dapatmenyumbang dalam membangunkan bidang ilmu pengetahuan, membina modal insan yang bakal menerajui negara di masa depan,” katanya.

Selain beliau, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut dianugerahkan DGPN.


(Professor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed)

  • Created on .
  • Hits: 401

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024