BERITA DALAM TALIAN: NAIB CANSELOR USM TERIMA DARJAH KEBESARAN PULAU PINANG, BAWA GELARAN DATUK SERI
Utusan Malaysia
Naib Canselor USM terima darjah kebesaran Pulau Pinang, bawa gelaran Datuk Seri
Oleh UTUSAN ONLINE | 17 Oktober 2023
ABDUL RAHMAN Mohamed menerima Darjah Kebesaran Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di George Town, Pulau Pinang hari ini.
GEORGE TOWN: Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed menyertai senarai penerima Darjah Kebesaran Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, hari ini.
Abdul Rahman, 59, pakar dalam bidang nanosains dan nanoteknologi yang telah menerbitkan lebih 500 hasil penyelidikan serta prosiding persidangan dianugerahkan dengan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Anak jati Pulau Pinang yang mula menyandang jawatan sebagai Naib Canselor Kesembilan USM pada Januari lalu itu turut terkenal dengan pencapaian luar biasa di peringkat antarabangsa termasuk mengungguli Anugerah Highly Cited Researcher untuk tahun 2018, 2019 dan 2021 oleh Clarivate.
Dalam bidang penyelidikan pula, beliau yang juga terkenal sebagai Ikon MARA/ MRSM turut menerima lebih daripada 80 geran penyelidikan daripada organisasi nasional dan antarabangsa melebihi nilai RM25 juta.
Pencapaian penyelidikan yang cemerlang membawa beliau memenangi lebih 60 anugerah dan pengiktirafan di peringkat nasional serta antarabangsa seperti Anugerah Malaysia Toray Science Foundation dan Top Research Scientists Malaysia pada 2012; Malaysia’s Rising Star Award pada tahun 2015 dan banyak lagi.
Abdul Rahman berkata, beliau amat terharu dan berterima kasih atas penganugerahan tersebut yang disifatkan antara pengiktirafan yang cukup besar sepanjang kariernya dalam bidang pendidikan dan membina anak bangsa.
“Ia satu perjalanan yang penuh liku-liku, namun saya berbangga kerana dapat menyumbang dalam membangunkan bidang ilmu pengetahuan, membina modal insan yang bakal meneraju negara di masa hadapan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang turut sama menggembleng tenaga dalam memperkasakan USM dan menyifatkan pengalamannya hampir 30 tahun bersama USM adalah satu perjalanan luar biasa demi perjuangan untuk memartabatkan bidang ilmu.
Abdul Rahman yang turut dilantik sebagai Ketua Kumpulan Fokus Industri untuk Pelan Induk Sains, Teknologi, Inovasi Malaysia (STIMP) (2020-2030), memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK), USM pada tahun 1993 dan merupakan di antara pengasas Pusat Pengajian tersebut. – UTUSAN
- Created on .
- Hits: 409