BERITA DALAM TALIAN: USM RASMIKAN PUSAT PEMBELAJARAN BAHARU DI KL
My Metro
USM rasmikan pusat pembelajaran baharu di KL
Oleh Firdaus Hashim | 12 Oktober 2023
AWANG Adek (dua kiri) bersama Abdul Rahman (kiri) merasmikan USM@KL.
Kuala Lumpur: Universiti Sains Malaysia (USM) merasmikan pusat pembelajaran baharu di Kuala Lumpur yang kini dikenali USM@KL.
Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, kewujudan USM@KL di tengah-tengah bandar metropolitan dilihat mampu menarik lebih ramai penuntut khususnya dari luar negara untuk melanjutkan pengajian di universiti itu.
Menurutnya, suasana pembelajaran yang selesa dan dikelilingi kemudahan serba moden dapat memudahkan urusan harian sekali gus menjadi daya tarikan utama.
"Kadang-kadang tempat dan suasana itu menentukan pilihan pelajar-pelajar luar negara. Umpamanya kita ada program kejuruteraan yang bagus di Nibong Tebal.
"Kampus kejuruteraan kita cantik, tetapi tidak begitu menarik pelajar antarabangsa kerana ia dilihat terpencil dari bandar.
"Kadang-kala suasana tidak begitu menarik, sebab itu kebanyakan mereka memilih menetap di Pulau Pinang dan berulang alik ke Nibong Tebal untuk hadir ke kelas," katanya.
Turut hadir dalam majlis itu, Naib Canselor USM, Prof Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed.
USM@KL diletakkan di bawah Institut Pengajian Siswazah (IPS) bagi merancakkan penawaran program ijazah tinggi yang berdaya saing dan bernilai tinggi di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Ini sekali gus dapat meningkatkan keterlihatan jenama USM khususnya di Lembah Klang.
Di pusat ini menawarkan program ijazah tinggi peringkat Sarjana dan Kedoktoran yang relevan kepada warga profesional yang bekerja di Lembah Klang.
Ketika ini, USM@KL mempunyai 463 pelajar ijazah tinggi dengan 54 peratus daripada mereka adalah penuntut antarabangsa dari China, Indonesia, Jepun, Singapura, Pakistan, Brunei, Ukraine dan lain-lain.
- Created on .
- Hits: 229