BERITA DALAM TALIAN: USM TAWAR PROGRAM AKADEMIK BERIMPAK TINGGI DI KUALA LUMPUR
Astro Awani
USM tawar program akademik berimpak tinggi di Kuala Lumpur
Bernama | 13 Oktober 2023
Perasmian USM@KL yang terletak di Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, disempurnakan oleh Awang Adek (empat, kiri) dan disaksikan oleh Abdul Rahman (lima, kiri) pada satu majlis semalam. - Facebook USM
GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah strategik dalam menyerlahkan keterlihatannya melalui transformasi dan penjenamaan semula kampus di Kuala Lumpur atau dikenali USM@KL dengan sasaran peningkatan 100 peratus enrolmen pascasiswazah.
Pengerusi Lembaga Gabenor USM Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata USM@KL adalah pusat pembelajaran dan penyelidikan terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur dan menawarkan program ijazah tinggi yang kompetitif, berdaya saing dan bernilai tinggi.
"Transformasi USM@KL yang dahulunya beroperasi di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak ke MoF Inc Tower, Persiaran KLCC adalah bertepatan dengan keadaan semasa.
"Keberadaan USM di Kuala Lumpur dapat mengukuhkan jaringan industri antara universiti dan pelbagai syarikat korporat dan organisasi antarabangsa di sini, selain membuka lebih banyak peluang untuk golongan profesional di ibu negara melanjutkan pengajian," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata jumlah enrolmen pelajar kini telah meningkat kepada 463 orang berbanding cuma 61 pada 2012 dan USM akan meningkatkan 100 peratus enrolmen dengan adanya lokasi baharu yang lebih strategik serta mudah diakses itu.
Awang Adek berkata USM@KL kini menawarkan tujuh program Sarjana dan Doktor Falsafah termasuk tiga program ijazah bersama antara USM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Katanya, proses transformasi itu selaras dengan Teras Ketiga dalam Kerangka MADANI yang memfokuskan pada Teras Daya Cipta iaitu Pembaharuan dan Pembudayaan Modal Insan ke arah pembangunan negara yang lebih mampan dan makmur.
"Landskap pendidikan hari ini telah berubah dan universiti menghadapi pelbagai cabaran baharu antaranya adalah perubahan teknologi dalam pembelajaran yang begitu pesat. Universiti harus bergerak cepat, tangkas dan pantas dalam menggerakkan program pemandirian kewangan untuk kekal relevan dan berdaya saing," katanya.
USM@KL dilengkapi makmal komputer, ruang kelas berkapasiti sehingga 100 orang, RFID Self-Check Library System, bilik kaunseling, Bilik EEG (Electroencephalogram), Sistem Telesidang Video, Internet berkelajuan tinggi dan pelbagai kemudahan lain.
USM@KL berada di lokasi strategik di Persiaran KLCC dengan akses kepada pelbagai kemudahan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan Bas Go KL serta berlatar belakangkan beberapa mercu tanda penting antaranya KLCC, Tun Razak Xchange (TRX), Menara Felda dan Naza Tower.
-- BERNAMA
- Created on .
- Hits: 232