USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: USM@KL TAWAR PROGRAM IMPAK TINGGI DI KUALA LUMPUR

Utusan Malaysia
USM@KL tawar program impak tinggi di Kuala Lumpur
Oleh SAFINA RAMLI | 14 Oktober 2023


AWANG Adek Hussin (dua dari kiri) dan Abdul Rahman Mohamed (kiri) pada majlis perasmian mercu tanda baharu USM iaitu USM@KL di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah strategik melalui transformasi dan penjenamaan semula kampusnya di Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai USM@KL.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, transformasi USM@KL yang dahulunya beroperasi di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak ke MoF Inc Tower, Persiaran KLCC adalah bertepatan dengan keadaan semasa.

Katanya, keberadaan USM di Kuala Lumpur dapat mengukuhkan jaringan industri antara universiti dan pelbagai syarikat korporat dan organisasi antarabangsa, selain membuka lebih banyak peluang untuk golongan prefesional di ibu negara melanjutkan pengajian.


AWANG Adek Hussin ketika berucap merasmikan mercu tanda baharu USM iaitu USM@KL di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Landskap pendidikan hari ini telah berubah yang mana universiti menghadapi pelbagai cabaran baharu dan salah satunya adalah perubahan teknologi dalam pembelajaran yang begitu pesat.

“Selain itu, universiti juga perlu kreatif dalam mencapai kemandirian kewangan. Universiti harus bergerak cepat, tangkas dan pantas dalam menggerakkan program pemandirian kewangan untuk kekal relevan dan berdaya saing,” katanya ketika merasmikan mercu tanda baharu USM di Kuala Lumpur itu, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

USM@KL adalah pusat pembelajaran dan penyelidikan yang terletak di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur dan menawarkan program-program ijazah tinggi yang kompetetif, berdaya saing dan bernilai tinggi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, USM berusaha mengoptimumkan penawaran kursus-kursus berimpak tinggi dan suasana pembelajaran yang kondusif di USM@KL.

Katanya, USM@KL turut dilengkapi dengan makmal komputer, ruang kelas berkapasiti sehingga 100 orang, RFID Self-Check Library System, bilik kaunseling, Bilik EEG (Electroencephalogram), Sistem Telesidang Video, internet berkelajuan tinggi dan banyak lagi.

“Jumlah enrolmen pelajar kini telah meningkat kepada 463 orang daripada cuma 61 pada 2012.

”USM akan meningkatkan 100 peratus enrolmen dengan adanya lokasi baharu yang lebih strategik dan mudah diakses ini,” katanya.

Tambahnya, USM@KL kini menawarkan tujuh program Sarjana dan Doktor Falsafah termasuk tiga program ‘joint-degree’ antara USM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). – UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 444

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024