BERITA DALAM TALIAN: USM SDIA KONGSI KEPAKARAN PENYELIDIKAN PERUBATAN KOMPLEMENTARI, TRADISIONAL
Berita Harian
USM sedia kongsi kepakaran penyelidikan perubatan komplementari, tradisional
Oleh Hidayatidayu Razali | 8 Oktober 2023
Prof Dr Shaharum Shamsuddin (dua dari kiri) dan Prof Dr Wan Rosli Wan Ishak (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Mohd Shahfied Senan (dua dari kanan) dan Muhammad Azhar Hasan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) sedia berkongsi kepakaran dalam penyelidikan bidang sains kesihatan untuk menangani masalah baharu, terutamanya membabitkan bidang perubatan komplementari dan tradisional.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin, berkata pihak universiti beraspirasi untuk membina kerjasama pintar dan dinamik dengan industri dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.
Katanya, perjanjian penyelidikan adalah langkah awal yang signifikan dalam usaha menggabungkan penyelidikan daripada pelbagai latar belakang untuk menangani masalah baharu, terutamanya dalam bidang perubatan komplementari dan tradisional.
"Kerjasama sedemikian penting untuk kami berkongsi kepakaran dalam kemajuan bidang sains kesihatan, selain mencerminkan aspirasi untuk membina kerjasama pintar dan dinamik di antara universiti dan industri dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis memeterai kerjasama dan perjanjian geran penyelidikan di antara USM dan ZN Abqary Enterprise untuk berkongsi kepakaran dalam penyelidikan bagi membantu mengurangkan kolesterol tidak baik dalam badan.
Yang hadir sama, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Prof Dr Wan Rosli Wan Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif ZN Abqary, Mohd Shahfieq Senan dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Muhamad Azhar Hasan.
Kerjasama selama tiga tahun itu bagi menyelidik dan membangunkan produk dalam projek 'Elucidating the Anti-Hypercholestrolaemic Mechanism of Plukenetia Volubilis Via Lipid Peroxidation and Anti-Glycation Pathway' (Mekanisme Peroksidasi Lipid dan Laluan Anti-glikasi Sacha Inchi atau Plukenetia Volubilis Sebagai Agen Anti-hiperkolesterol).
Shaharum berkata, perjanjian itu bagi menghasilkan produk makanan tambahan berasaskan tumbuhan Sacha Inchi bertujuan mengurangkan tahap kolesterol jahat dalam badan, sekali gus membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular yang semakin meningkat di Malaysia.
Katanya, kajian terhadap produk berkenaan dikendalikan saintis di USM, diketuai Dr Sabreena Safuan dan Dr Zuraidah Abdullah yang mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit.
"Kerjasama ini juga langkah penting ke arah pembangunan perubatan komplementari yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan menyokong usaha untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit," katanya.
Beliau berharap kerjasama itu terus berkembang pada masa akan datang, selain membuka peluang yang lebih luas untuk penyelidikan dan penemuan baharu dalam bidang perubatan komplementari.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZN Abqary, Mohd Shahfieq berkata, pihaknya beruntung dapat bekerjasama dengan USM yang memiliki ramai saintis.
"Kami bersyukur penyelidik USM sudi bekerjasama untuk mengkaji dan menghasilkan produk yang bukan sahaja halal, tetapi selamat dan diformulasikan khusus untuk rakyat Malaysia," katanya.
- Created on .
- Hits: 232