USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: BEKAS PESAKIT KANSER ANTARA 3,551 PELAJAR BAHARU USM

Berita RTM
Bekas pesakit kanser antara 3,551 pelajar baharu USM
8 October 2023


(Aliff Haikal Ayob (DUA DARI KIRI) ketika mendaftar bagi sidang akademik 2023/2024 di USM)

GEORGE TOWN, 8 Oktober- Seorang bekas pesakit kanser merupakan antara 3,551 pelajar yang mendaftar masuk bagi sidang akademik 2023/2024 di Universiti Sains Malaysia (USM).

Pelajar berkenaan, Aliff Haikal Ayob yang disahkan menghidap penyakit kanser kelenjar tahap 3 pada Mei 2014 kini sudah diisytiharkan bebas kanser.

Beliau berkata, walaupun penyakit tersebut telah menyebabkannya kerap tidak hadir ke sekolah ia bukanlah penghalang buatnya untuk menelaah pelajaran.

Sakit yang ditanggungnya itu juga mendorongnya untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi dalam bidang biologi.

"Dulu saya selalu perhatikan apa yang doktor buat terhadap saya termasuk ketika disuntik ataupun ketika doktor meletakkan kemo pod.

"Daripada situ, timbul minat dan saya simpan azam untuk belajar bidang biologi,"kata Aliff.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Professor Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, Aliff Haikal merupakan antara 1,000 pelajar yang terpilih bawah Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG).

Ia merupakan inisiatif USM ke arah memperkasa hal ehwal dan kebajikan pelajar serta mewujudkan ekosistem yang kondusif, cakna dan prihatin khususnya dalam kalangan pelajar B40 dan OKU.

"Tujuan kita ambil mereka ini supaya kita boleh bantu keluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan, apabila mereka masuk bawah program SULUNG ini, mereka tidak perlu membayar yuran dan disediakan kemudahan penginapan.

"Mereka juga diberi kelonggaran atau pengurangan teapi yang pentingnya mereka akan dibimbing daripada segi akademik, sahsiah dan sebagainya sepanjang mereka berada di universiti,"katanya.


(Naib Canselor USM, Professor Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed)

  • Created on .
  • Hits: 139

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024