USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: USM BERI RUANG KEPADA 67 PERATUS CALON PELAJAR B40

Kosmo
USM beri ruang kepada 67 peratus calon pelajar B40
Oleh SAFINA RAMLI | 8 Oktober 2023


Abdul Rahman (tengah) ketika sidang akhbar mengenai pendaftaran pelajar baharu ke USM bagi program Ijazah Sarjana Muda sidang akademik 2023/2024 di USM, hari ini.

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) memberi ruang kepada kira-kira 67 peratus calon pelajar daripada golongan kurang berkemampuan (B40) untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, jumlah keseluruhan pelajar yang ditawarkan melalui saluran UPU (sistem perdana) bagi kategori B40 adalah seramai 2,391 calon bagi ketiga-tiga kampus universiti itu.

“USM mengambil perhatian terhadap agenda university social responsibility (USR) di mana universiti ini terus mengekalkan naratif pengambilan bottom billion untuk memberi ruang dan peluang kepada calon pelajar daripada golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di USM.

“Jumlah keseluruhan pelajar yang ditawarkan melalui saluran UPU bagi kategori B40 adalah seramai 2,391 atau 67 peratus calon bagi ketiga-tiga kampus,” katanya pada sidang akhbar mengenai pendaftaran pelajar baharu ke USM bagi program Ijazah Sarjana Muda sidang akademik 2023/2024 di USM di sini, hari ini.

Menurut beliau, seramai 4,696 calon dari lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Diploma telah menerima tawaran bagi mengikuti program ijazah Sarjana Muda (sepenuh masa) dan Diploma di USM bagi kesemua saluran kemasukan pada Sidang Akademik 2023/2024.

“Seramai 3,551 calon daripada puluhan ribu yang memohon program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) melalui sistem UPU (Saluran Perdana) berjaya mendapat tempat dan ditawarkan di USM.

“Seramai 172 calon merupakan calon dari saluran pra universiti USM dimana 70 calon daripada saluran pra universiti USM telah terpilih dan ditawarkan bagi melanjutkan pengajian Doktor Perubatan di USM KLE, India,” katanya.

Tambahnya, USM turut prihatin dan memberi peluang kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) untuk merealisasikan cita-cita menggenggam ijazah USM dengan memberi perhatian khusus dalam pemilihan OKU. – KOSMO! ONLINE

  • Created on .
  • Hits: 157

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024