USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: USM BERI RUANG KEPADA 67 PERATUS CALON PELAJAR B40 LANJUT PENGAJIAN

Utusan Malaysia
USM beri ruang kepada 67 peratus calon pelajar B40 lanjut pengajian
Oleh SAFINA RAMLI | 8 Oktober 2023


ABDUL RAHMAN Mohamed (dua dari kiri) dalam sidang akhbar mengenai pendaftaran pelajar baharu ke USM bagi program Ijazah Sarjana Muda sidang akademik 2023/2024 di USM, Glugor, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) memberi ruang kepada kira-kira 67 peratus calon pelajar daripada golongan kurang berkemampuan (B40) melanjutkan pengajian di universiti itu.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, jumlah keseluruhan pelajar yang ditawarkan melalui saluran UPU (sistem perdana) bagi kategori B40 adalah seramai 2,391 calon bagi ketiga-tiga kampus universiti itu.

”USM mengambil perhatian terhadap agenda tanggungjawab sosial universiti (USR) yang mana universiti ini terus mengekalkan naratif pengambilan “bottom billion’ untuk memberi ruang dan peluang kepada calon pelajar daripada golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di USM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan pendaftaran pelajar baharu ke USM bagi program Ijazah Sarjana Muda sidang akademik 2023/2024 di USM, di sini hari ini.

Menurut beliau, seramai 4,696 calon dari lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi dan Diploma telah menerima tawaran bagi mengikuti program ijazah Sarjana Muda (sepenuh masa) dan Diploma di USM bagi kesemua saluran kemasukan pada Sidang Akademik 2023/2024.

“Seramai 3,551 calon daripada puluhan ribu yang memohon program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) melalui sistem UPU (Saluran Perdana) berjaya mendapat tempat dan ditawarkan di USM.

“Seramai 172 calon merupakan calon saluran pra universiti USM yang mana 70 calon daripada saluran pra universiti USM telah terpilih dan ditawarkan bagi melanjutkan pengajian Doktor Perubatan di USM KLE, India,” katanya.

Tambahnya, USM turut perihatin dan memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk merealisasikan cita-cita menggenggam ijazah USM dengan memberi perhatian khusus dalam pemilihan OKU.

”Seramai 13 calon telah ditawarkan bagi mengikuti pengajian di USM dan telah menerima tawaran untuk kemasukan Sidang Akademik 2023/2024.

“Pelajar bakal menikmati kemudahan kelas pertama di Desasiswa Aman Damai (AD) yang dikhususkan untuk mereka yang menyediakan kemudahan seperti tandas mesra pelajar, platform kerusi roda dan parkir kenderaan yang dekat dengan bilik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi memperkasakan sukan negara, USM juga telah mengenal pasti 21 calon atlet yang mewakili negeri dan negara daripada pelbagai jenis bidang sukan untuk mengikuti program pengajian di situ.

”USM juga telah menawarkan kemasukan bagi saluran warga emas yang mana dua calon warga emas telah ditawarkan bagi kemasukan program Ijazah Sarjana Muda bagi program pengurusan di USM pada sidang ini,” katanya. – UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 145

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024