USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: PROGRAM PUTERI BELANTARA USM, SERLAH KEPIMPINAN ANAK DESA

Utusan Malaysia
Program Puteri Belantara USM, serlah kepimpinan anak desa
Oleh ROZAIDI ZULKIFLI | 7 Oktober 2023


PARA Peserta dan semua yang terlibat dalam Program Puteri Belantara 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah Parit, baru-baru ini.

SERI ISKANDAR: Program Puteri Belantara anjuran pensyarah dan pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) melebarkan sayap ke lokasi seterusnya untuk mengembangkan potensi pembangunan kepimpinan asas dengan melibatkan 40 orang murid perempuan tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah Parit, baru-baru ini.

Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri dan Komuniti, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM Prof Madya Dr Aziah Ismail berkata, program ini memfokuskan kepimpinan wanita dan turut melibatkan ibu-ibu peserta program ini.

“Itulah keunikan Puteri Belantara. Peranan ibu sebagai pemimpin pertama kepada semua anak-anak dicungkil dan diasah dalam program ini,” katanya yang merangkap ketua Program Puteri Belantara.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Negeri Kedah dan Perak, Hairul Nizam Abd. Rahman berkata pihaknya membuka pintu seluas-luaskan untuk USM atau mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program seperti ini.

“Kita sangat mengalu-alukan dan menghargai perkongsian kepakaran pensyarah Institut Pengajian Tingga Awam (IPTA) dan alhamdulillah usaha ini telah dijalankan oleh USM dalam Program Puteri Belantara,” jelasnya yang merasmikan program berkenaan.

Program yang telah dijalankan pada 29 hingga 30 September lalu, turut melibatkan murid-murid orang asli dan kaum Bumiputera (Sabah dan Sarawak), dengan aspek pembangunan kepimpinan, batasan remaja, laluan kerjaya, kelestarian dalam kepimpinan dan kesihatan reproduktif remaja diterapkan kepada pesert-peserta.

Semua aktiviti yang dijalankan dalam program itu telah mendapatkan respon positif daripada semua peserta, ibu dan guru.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perak, Logarani a/p Mathivanan, dan wakil Yakult Malaysia Ong Zhu Hong turut membantu menjayakan program tersebut.

Selain itu, Pengetua SMK Iskandar Shah Parit, Sabarudin Othman menjelaskan bahawa 17 elemen Sustainability Development Goals (SDGs) yang diterapkan dalam program ini telah dapat membantu peserta memahami kelestarian dalam kepimpinan.

“Pengalaman ini dapat membantu para peserta terlibat dalam memperkayakan kemahiran dan kefahaman mereka yang majoriti adalah murid golongan B40,” ujarnya.

Program Puteri Belantara yang merupakan kombinasi idea pensyarah USM iaitu Aziah, Prof Madya Dr. Nur Shafrin Ahmad, Dr. Ummu Sakinah Mohamad Shubri dan pelajar Ainisaadah Mohd Saod ini mensasarkan pelbagai lokasi berbeza dalam mengembangkan potensi pembangunan kepimpinan asas murid dan ibu mereka seperti di perkampungan orang asli, luar bandar, Felda, bandar dan pesisir pantai.-UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 140

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024