BERITA DALAM TALIAN: HARI AKADEMIA 2023 BERI PENEKANAN BANGKIT SEMANGAT SELARI NEGARA MADANI
Berita Harian
Hari Akademia 2023 beri penekanan bangkit semangat selari Negara Madani
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim | 5 Oktober 2023
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) menyerahkan surat pelantikan Rakan Strategik Kursi Akademik Luar Negara kepada wakil Universiti Sains Malaysia (USM) pada Perasmian Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Zaaba Kementerian Pendidikan Tinggi.
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia 2023 memberi penekanan membangkitkan semangat ahli akademik ke arah membangunkan masyarakat dan negara selari dengan teras Negara Madani.
Bertemakan 'Akademia Pemacu Malaysia Madani', sambutan itu menjadi hari istimewa bagi untuk ahli akademik, khususnya di institusi pendidikan tinggi bagi menghargai jasa serta sumbangan golongan berkenaan.
Pada sambutan yang disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam, pelbagai pengisian berlangsung antaranya sesi townhall mengenai kewibawaan akademia.
Sesi terbabit disertai Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Dr Rosna Awang Hashim serta Felo Kehormat APM, Prof Datuk Dr Asma Ismail, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.
Selain itu, Mohamed Khaled melancarkan Buku Garis Panduan Program Sarjana Muda Perantisan, iaitu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menggalakkan kaedah pembelajaran inovatif bagi memenuhi keperluan industri.
Inisiatif buku garis panduan itu membantu meningkatkan kompetensi pelajar untuk mencapai objektif pekerjaan mereka.
Sementara itu, Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, antara misi penting golongan akademik adalah untuk mencari formula baharu supaya pendidikan dan dunia ilmu dilihat lebih menarik serta menyeronokkan.
Jelasnya, bagi memastikan tradisi ilmu dan kesarjanaan berupaya memikat golongan muda, ahli akademik perlu beralih dan beranjak dari pemahaman terhad yang terlalu berorientasikan cara lama.
"Kita mesti mencari inovasi baharu dalam proses menyampaikan ilmu, merangsang penyelidikan dan mencetuskan inspirasi.
"Pembentukan bakat hari ini tidak boleh dirujuk kepada pendidikan dalam bilik kuliah semata-semata, apatah lagi jika kita mahu menjadi pemupukan nilai unggul sebagai teras besar," katanya.
- Created on .
- Hits: 268