BERITA DALAM TALIAN: ARCA ABAD KELAPAN DITEMUI DI YAN
Harian Tamil Makkal
Arca abad kelapan ditemui di Yan
By Puvaneswary Thoppasamy | 22 September 2023
Yan, Sep 22.
Penyelidik Universiti Sains Malaysia menemui dua arca patung dan batu bertulis dengan huruf Pallava abad kelapan Masihi di tapak arkeologi Bukit Choras di sini. Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM, Dr Nasha Rodziadi Khaw, berkata Candi Bukit Choras mempunyai keistimewaan kerana satu-satunya tapak terletak di luar kawasan Sungai Merbok dan Sungai Muda (Lembah Bujang).
Katanya, kerja penyelidikan bermula 28 Ogos lalu, berjaya mendedahkan hampir separuh candi yang dianggar mempunyai ukuran sembilan meter panjang dan sembilan meter lebar, manakala ketinggian belum diketahui.
“Keistimewaan Candi Bukit Choras kerana masih dalam keadaan terpelihara bentuknya berdasarkan kedudukan dinding barat, utara dan selatan struktur yang berada dalam keadaan asal. Kita juga menemui dua arca bersaiz manusia yang diperbuat daripada bahan ‘stacco’ iaitu campuran kapur dan bahan lain yang dibentuk di tapak secara terus dengan arca sebegini tidak pernah ditemui di kawasan Lembah Bujang.
“Penyelidikan awal juga menemui terdapat persamaan arca ini dengan arca ditemui di tapak Batu Jaya, Jawa Barat dan Sumatera. Kajian awal turut menunjukkan terdapat persamaan pada seni bina candi,” katanya di sini, hari ini.
- Created on .
- Hits: 336