BERITA DALAM TALIAN: SPICES USM PAMER LEBIH 200 ORGAN MANUSIA
Sinar Harian
SPICES USM pamer lebih 200 organ manusia
oleh ADILA SHARINNI WAHID | 18 September 2023
Dr Abdul Rahman (dua dari kanan) melihat paru-paru yang diawet dan Dr Abdul Razak (kiri) memegang tangan manusia yang dipamerkan di SPICES.
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian menampilkan inovasi bertaraf dunia dengan membangunkan galeri organ patologi mengikut sistem badan manusia bernilai RM2.4 juta yang pertama di Malaysia.
Penubuhan dinamakan Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) universiti itu menempatkan lebih 200 organ manusia yang dilengkapi imbasan kod QR, panel interaktif, sistem audio, realiti maya (VR) dan realiti perantara (AR) serta pemetaan tiga dimenasi (3D).
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, SPICES berfungsi sebagai ruang pameran yang menggabungkan reka bentuk berkonsepkan sains dan seni serta lengkap dengan ciri-ciri teknologi berinteraktif.
Katanya, pembangunan SPICES itu ialah seiring dengan pertumbuhan masa kini yang akan melengkapkan dan menambah baik kaedah pengajaran serta pembelajaran dalam bidang perubatan di negara ini terutama di universiti berkenaan.
“Organ atau spesimen tulen daripada tubuh badan manusia ini termasuklah mereka yang menghidap penyakit seperti kanser dan ketumbuhan.
“Organ seperti paru-paru, ginjal dan usus ini dikumpulkan hampir 40 tahun sejak bermula penubuhan USM pada tahun 1984 serta diawet sebelum diletakkan di galeri untuk dipamerkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian SPICES di PPSP USM di sini pada Isnin.
Dr Abdul Rahman (kiri) hadir merasmikan SPICES di USM Kubang Kerian di Kota Bharu. - Foto Sinar Harian
Turut hadir, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Shaharum Shamsuddin dan Dekan PPSP USM, Profesor Dr Abdul Razak Sulaiman.
Dr Abdul Rahman berkata, SPICES juga satu ikonik yang membuktikan komitmen USM terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam pendidikan serta penyelidikan.
Menurutnya, galeri itu tidak terhad kepada pelajar Program Doktor Perubatan PPSP dan penuntut Ijazah Sarjana di Kampus Kesihatan USM sahaja, tetapi turut dibuka kepada orang awam terutama pelajar sekolah.
“SPICES menyediakan pengalaman pembelajaran lebih kreatif dan dinamik kepada pelajar bagi menarik minat mereka terhadap ilmu sains serta kesihatan khususnya perubatan.
“Galeri ini akan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar, profesional perubatan dan masyarakat yang ingin memahami lebih mendalam tentang perkembangan sains dalam bidang perubatan,” ujar beliau.
- Created on .
- Hits: 273