BERITA DALAM TALIAN: USM KUBANG KERIAN TERIMA 4 MESIN ULTRASOUND RM1 JUTA DARI CHINA
Sinar Harian
USM Kubang Kerian terima 4 mesin ultrasound RM1 juta dari China
oleh ADILA SHARINNI WAHID | 10 September 2023
Dr Shaharum (tiga dari kiri) melihat cara mesin ultrasound menjalankan fungsinya.
KOTA BHARU - Universiti Sains Malaysia (USM) menerima empat mesin ultrasound yang bernilai hampir RM1 juta daripada syarikat China, Mindray bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran di USM-Mindray Sonoschool di universiti itu.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin berkata, projek USM-Mindray Sonoschool ialah hasil kerjasama Mindray yang berpusat di China melalui Syarikat Infiniti Medical (pengedar mesin ultrasound dalam negara) dengan USM menerusi memorandum perjanjian yang dimeterai pada tahun 2021.
Katanya, USM-Mindray Sonoschool dibangunkan untuk memberi latihan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar Program Doktor Perubatan, Sarjana Perubatan dan subkepakaran berkaitan ultrasound seiring perkembangan teknologi ultrasound terkini dan tercanggih seperti yang disumbangkan oleh Mindray.
“Mindray berbesar hati menyumbang mesin-mesin ultrasound tersebut selain membaik pulih bilik ultrasound di Jabatan Perubatan Kecemasan yang melibatkan keseluruhan kos hampir RM1 juta.
“Kemudahan peralatan mesin ultrasound ini akan membantu para pelajar bersedia menempuh era baharu dalam pembelajaran perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) di USM,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian USM-Mindray Sonoschool di USM Kubang Kerian di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengurus Pemasaran Mindray Kurt Xie dan Pengarah Urusan Infiniti Medical, Ng Yoong Duong.
Dr Shaharum berkata, universiti itu juga ialah perintis yang memperkenalkan kurikulum berstruktur untuk point of care utrasound (POCUS) bagi memastikan kemahiran pemeriksaan ultrasound dalam kalangan pakar dan pegawai perubatan berada pada tahap kompetensi optimum.
Menurut beliau sehingga kini, USM melatih hampir 300 pelajar Sarjana Perubatan (Perubatan Kecemasan) yang mempunyai kemahiran dalam bidang POCUS.
“Bagi pelajar Program Doktor Perubatan, POCUS didedahkan kepada pelajar perubatan tahun lima sejak tahun 2017 lagi terutamanya berkaitan Penilaian Berfokus Sonografi dalam Trauma (FAST).
“Bermula tahun ini, USM mengorak langkah dengan memperkenalkan POCUS sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran untuk pelajar doktor perubatan tahun empat dan USM merupakan universiti pertama dalam negara yang melaksanakan sukatan pelajaran tersebut,” ujarnya.
Kata Dr Shaharum, beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan POCUS USM menyumbang secara aktif kepada latihan POCUS dalam dan luar negara selain menjalankan penyelidikan serta mengambil bahagian dalam World Interactive Network Focused on Critical Ultrasound (WINFOCUS) yang merupakan komuniti POCUS terbesar di seluruh dunia.
Tambah beliau, USM-Mindray Sonoschool itu berada di bawah kelolaan Profesor Madya Dr Shaik Farid Abdull Wahab yang juga Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan USM dan Profesor Madya Dr Mohd Hashairi Fauzi iaitu Pakar Perubatan Kecemasan dan Penyelaras Pusat Integrasi Simulasi Klinikal, PPSP USM.
“Sebagaimana semua sedia maklum, bidang POCUS berkembang pesat dan dipraktikkan di seluruh dunia dan kewujudan USM-Mindray Sonoschool akan dapat membantu PPSP USM menghasilkan graduan yang kompetitif serta berkualiti.
“Selain itu, pasukan POCUS USM turut melancarkan buku POCUS pertama terbitan Penerbit USM dan satu pencapaian penting dalam menyediakan panduan komprehensif bagi pakar dan pegawai perubatan menggunakan mesin ultrasound dalam menjalankan proses ultrasound di tempat pesakit berada bagi diagnosis serta rawatan yang lebih tepat,” kata beliau.
- Created on .
- Hits: 289