USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: ZILFALIL DILANTIK SEBAGAI PENASIHAT WHO DALAM BIDANG GENOMIK

Malay.News
Zilfalil dilantik sebagai penasihat WHO dalam bidang genomik
Oleh MalaysiaGazette | 5 September 2023

Zilfalil dilantik sebagai penasihat WHO dalam bidang genomik

GEORGE TOWN – Pakar Perunding Kanan Kanak-Kanak dan Genetik Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Zilfalil Alwi dilantik menganggotai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Technical Advisory Group on Genomics (TAG-G).

Pelantikan selama dua tahun berkuatkuasa 24 Ogos lalu mencipta sejarah apabila beliau merupakan satu-satunya wakil Malaysia daripada 15 orang yang dilantik dalam kumpulan penasihat kepada WHO dalam bidang genomik.

Zilfalil berkata, keanggotaan itu memberi impak yang signifikan kerana ‘low- and middle-income countries’ (LMIC) akan mendapat akses kepada kepakaran dan pengetahuan terkini dalam bidang genomik.

“Pelantikan ini juga membolehkan negara meningkatkan keupayaan dalam bidang penyelidikan dan perubatan berdasarkan genom, membuka peluang bagi mengenal pasti faktor risiko genetik penyakit tertentu serta mewujudkan rawatan yang lebih personalisasi (personalize) dan berkesan.

“Terdapat beberapa peranan lain perlu dimainkan sebagai anggota kumpulan berkenaan dan ia berkisar kepada pembangunan bidang genomik,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Zilfalil, dalam kapasiti penasihat itu juga, kumpulan berkenaan perlu menilai semula dan mencadangkan aktiviti keutamaan bagi dipertimbangkan WHO untuk mempercepatkan akses kepada teknologi genomik kesihatan global, termasuk promosi dan advokasi selain daripada aktiviti teknikal.

Katanya, kewujudan TAG-G akan memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat dan negara yang mana ia menyokong WHO dalam mempercepatkan akses kepada teknologi genomik untuk kesihatan global, khususnya pada genom manusia, menerusi panduan teknikal dan sokongan.

“Ia akan melonjakkan lagi bidang genomik di seluruh dunia terutama dalam kalangan LMIC yang mempunyai jurang perbezaan sangat ketara berbanding dengan ‘high-income countries’ (HIC).

“Pendekatan yang diambil TAG-G bagi menilai semula dan mencadangkan aktiviti keutamaan dalam melancarkan akses kepada teknologi genomik membolehkan negara kita termasuk di seluruh dunia mengambil langkah strategik dalam memajukan sektor kesihatan.

“Malah ia akan membantu negara kita menghadapi cabaran kesihatan yang semakin rumit dengan pendekatan yang lebih holistik dan terkini, memastikan penyediaan rawatan dan penjagaan kesihatan yang lebih cekap serta tepat sasaran,” kata beliau.

WHO TAG-G adalah Kumpulan Penasihat Teknikal dalam bidang genomik kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang baharu serta pertama kali ditubuhkan, bertujuan bagi menyokong dan menyedia panduan teknikal terhadap aktiviti yang dilaksanakan Sekretariat WHO.

Ia adalah bagi melancar akses kepada teknologi genomik serta manfaat kepada kesihatan global terutama dalam bidang genom manusia. – MalaysiaGazette

  • Created on .
  • Hits: 179

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024