USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: PROGRAM SERAP INDUSTRI DIPERLUAS KE UNIVERSITI LAIN

Kosmo
Program Serap Industri diperluas ke universiti lain
Oleh SAFINA RAMLI | 4 September 2023

Screenshot 2023 09 05 at 10.55.32 AM
Khaled (tengah) ketika lawatan ke OPPSTAR Technology Sdn. Bhd. di Bangunan I2U, Sains@USM di Bayan Lepas, hari ini. Foto oleh HAMDAN/ KOSMO!

GEORGE TOWN – Program Serap Industri (IIP) yang kini dimulakan di Universiti Sains Malaysia (USM) akan diperluas ke universiti-universiti lain bagi membangunkan bakat berkemahiran tinggi dalam kalangan graduan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program IIP itu mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan kerana ia dirangka berdasarkan pendekatan berfokus kepada pembelajaran di universiti.

Selain itu, katanya, program IIP juga memberi pendedahan praktikal industri serta memberikan peluang kepada pelajar untuk meneruskan pekerjaan bersama industri dengan gaji premium iaitu gaji permulaan lebih RM4,000 apabila selesai pengajian nanti.

”KPT mahu memastikan IIP menjadi platform nasional yang disediakan oleh universiti dengan kerjasama pihak industri supaya program latihan yang diwujudkan pada penggal akhir pengajian sesuai dengan keperluan industri sebelum mereka diserap masuk ke alam pekerjaan.

“Kita juga mahu melihat IIP ini diperluas ke universiti lain dan juga sektor yang lain antaranya bio-teknologi dan perubatan,” katanya dalam akhbar selepas mengadakan lawatan ke Oppstar Berhad di Bangunan I2U Sains@ USM di sini, hari ini.

Menurutnya, IIP yang kini diterajui oleh USM memberi penekanan kepada pembangunan bakat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Katanya, USM bekerjasama dengan Oppstar Bhd. yang merupakan salah satu daripada syarikat inkubator di Sains@Usm dan ia menjadi syarikat perintis di negara ini yang memulakan program inkubasi rekabentuk litar bersepadu di universiti.

”KPT bersetuju untuk memberi peranan kepada USM untuk mengetuai platform latihan industri ini dalam bidang E&E.

“Ia melibatkan kira-kira 4,000 pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia setiap tahun untuk memastikan mereka bersedia serta berkemahiran tinggi untuk memasuki pasaran industri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sektor E&E di negara ini memerlukan sekurang-kurangnya 6,500 jurutera mahir bagi menampung perkembangan industri sektor ini untuk lima tahun akan datang.

”Program ini turut menarik minat beberapa pemain industri lain seperti Skyechip, National Instruments, Advantest, Efinix, Infinecs, StarFive dan Infineon bagi melaksanakan program IIP.

“Buat masa ini, terdapat 18 syarikat yang berminat untuk melaksanakan program IIP ini. Pelajar akan dibayar RM1,500 hingga RM2,000 semasa melakukan projek tahun akhir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

  • Created on .
  • Hits: 115

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024