BERITA DALAM TALIAN: HARGA SEBUAH KEAMANAN!
My Metro
Harga sebuah keamanan!
Oleh Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi | 30 Ogos 2023
GAMBAR HIASAN
Islam menekankan keharmonian dan keamanan untuk diri sendiri mahupun sesama umat Islam. Hal ini berasaskan firman Allah SWT yang bermaksud "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)." Surah al-Hujurat ayat 13
Dalam Islam, soal perbezaan bukan halangan untuk manusia berbaik-baik, bekerjasama dan saling membantu antara satu dengan yang lain sehingga mewujudkan keharmonian. Penghormatan kepada penganut agama lain telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa hayat Baginda dan pendekatan itu merupakan ajaran penting dalam Islam.
Islam melihat kepelbagaian etnik dengan pandangan yang positif iaitu untuk berkenal-kenalan dan bantu-membantu dalam perkara kebaikan. Hal ini bersandarkan peristiwa Nabi Muhammad SAW menegur Abu Zarr al-Ghifari yang menggelar Bilal bin Rabbah dengan suatu gelaran yang tidak baik. Dalam teguran ini, baginda menjelaskan tiada keistimewaan seseorang yang berkulit putih dengan seorang yang berkulit hitam kecuali ketakwaannya.
Dalam konteks Malaysia, sejak merdeka kerajaan telah menggubal pelbagai dasar untuk mencapai tahap keadilan sosial yang maksimum agar setiap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman dan harmoni. Pendekatan evolusi dalam usaha memantapkan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan pengurusan negara sentiasa diteruskan.
Pendekatan ini tidak menjejaskan kestabilan masyarakat. Perkongsian kuasa secara syura memang menjadi nadi dalam kerajaan Islam. Ia seperti yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW pada zaman kerajaan Islam Madinah. Ketika itu, kehadiran Yahudi turut diambil kira dan cara ini telah membolehkan kerajaan ditadbir dengan lebih selesa.
Dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, masyarakat bukan Islam juga diberi perhatian. Malah setiap tindak-tanduk kita hendaklah tidak menimbulkan rasa tidak selesa hingga menjejaskan ketenteraman dan keharmonian.
Keupayaan pelbagai kaum untuk duduk semeja dalam merancang pembangunan negara adalah satu perkongsian kuasa yang bijak dan memberi manfaat dan faedah kepada pembangunan negara. Keharmonian dan ketenteraman ini penting bagi menjamin kelangsungan pembangunan.
Pengiktirafan yang diterima oleh Malaysia daripada masyarakat antarabangsa khususnya dari negara-negara Islam adalah amat jelas memperlihatkan kejayaan negara sebagai negara Islam yang berjaya melaksanakan dan mengendalikan keperluan umat dan penganut agama lain secara adil dan harmoni.
Kita telah mendahului negara Islam lain dalam memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup merangkumi pelbagai aspek hidup. Demi memastikan pencapaian ini terus berkekalan, setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kerajaan yang dipilih betul-betul faham dan serius mendukung pengiktirafan ini.
Semua ini jelas menunjukkan Islam adalah agama yang boleh diterima semua pihak kerana ciri-ciri universalnya dan ia tidak perlu menerima kefahaman baru seperti yang dibangkitkan golongan pluralis dengan alasan keharmonian beragama. Sememangnya sejak dahulu lagi Islam menganjurkan masyarakat harmoni walaupun berbilang agama. Hal ini terbukti dengan terbentuknya Piagam Madinah pada zaman Rasulullah yang memberi keadilan kepada semua pihak.
Jelaslah keharmonian dan keamanan negara perlu dipertahankan. Nikmat ini tidak wajar dipandang mudah kerana tidak semua rakyat di seluruh dunia dapat menikmati suasana hidup seperti di negara kita. Oleh itu, nikmat ini perlu disyukuri dan dijaga sebaiknya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." Surah Ibrahim, ayat 7
Apabila keamanan dan keharmonian hancur, maka sukar untuk mengembalikannya semula. Lihatlah apa yang berlaku di negara luar. Negara aman dan mencapai tahap tamadun yang gemilang pada masa lalu bertukar huru-hara dan rakyat menanggung kesengsaraan gara-gara tindakan mereka sendiri. Dalam konteks Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama, hubungan baik seluruh rakyat amat penting. Isu kaum dan agama mudah mencetuskan keadaan huru-hara dan ketegangan. Sebab itu, semangat perpaduan dan tolak ansur penting diamalkan setiap masa.
Islam mementingkan hubungan baik dengan penganut agama lain. Nikmat keamanan dan keharmonian turut dinikmati penduduk bukan Islam kerana mereka juga sebahagian yang menyumbang ke arah itu.
Biarpun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama Islam agama Persekutuan, ia tidak sekali-kali menyekat kebebasan bukan Islam mengamalkan agama masing-masing seperti terkandung dalam Perkara 11. Justeru, penduduk bukan Islam tidak perlu bimbang mengenai keselamatan dan kebebasan selagi mereka mematuhi prinsip Rukun Negara.
Antara perkara yang perlu diamalkan ialah sifat sederhana dan menjauhi elemen ekstrem yang boleh menghancurkan keamanan dan keharmonian. Formula mengamalkan toleransi, sifat terbuka dalam hubungan sosial, saling memahami, menghormati dan mempercayai perlu dipertahankan.
Sebab itu, jika ada perkara berbentuk fitnah dan provokasi membabitkan kaum dan agama, jangan mudah melatah atau bertindak melulu. Tindakan buruk sangka akan memburukkan keadaan dan lebih parah jika ada pihak ingin menjadi jaguh atau mengambil kesempatan.
Allah SWT mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud, "Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain." Surah al-Hujurat, ayat 12
Fenomena fitnah dan khabar angin menjadi senjata berbisa digunakan pihak berkepentingan. Senjata ini membunuh keamanan dan keharmonian. Islam melarang fitnah dan menyebar khabar angin, penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab yang amat pedih.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu bersaudara." Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
Apabila penyebaran fitnah berleluasa bermakna kehidupan masyarakat di ambang kemusnahan. Masing-masing keliru dan sukar membuat pilihan mana di pihak benar.
Jangan biarkan negara musnah disebabkan perebutan kuasa. Demokrasi memberi peluang rakyat memilih pemimpin paling layak. Pemilihan pemimpin perlu dilakukan berdasarkan rekod perkhidmatan, bukan atas sentimen atau persepsi.
Perbezaan fahaman politik tidak harus dijadikan penghalang kepada matlamat yang sama iaitu memartabatkan Islam pada kedudukan terbaik. Setiap individu Muslim mempunyai tanggungjawab menyokong usaha untuk kebaikan ummah. Siapa atau pihak mana yang mencetuskan idea dan memulakan usaha tidak perlu dipedulikan, asalkan perkara itu memberi kebaikan kepada ummah.
Sikap melakukan sesuatu untuk nama puak atau golongan tertentu menjadi penyakit yang boleh melemahkan perpaduan dan meruntuhkan keharmonian. Golongan yang tidak sealiran akan menidakkan kebaikan dilakukan pihak lain, sedangkan mereka sendiri tidak melakukan apa-apa yang lebih baik.
Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)
- Created on .
- Hits: 275