USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: TAMBAH POPULASI BURUNG PUNGGUK JELAPANG, KAWAL SERANGAN TIKUS

Berita RTM
Tambah populasi burung pungguk jelapang, kawal serangan tikus
Oleh Media Baharu | 27 Ogos 2023

KOTA BHARU, 27 Ogos- Usains Healthcare dengan kerjasama Barn Owl and Rodent Research Group (BORG) Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan projek hub pertama dalam usaha meningkatkan populasi burung pungguk jelapang.

Bagi meningkatkan populasi spesies itu kotak sarang tiruan disediakan di sekitar kampus berkenaan.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, "bagi fasa pertama ini, BORG memasang dua rumah kotak di kawasan padang golf USM, Kubang Kerian.

"Manakala tiga buah lagi akan dipasang dengan mengambil kira lokasi yang sesuai," katanya.

Projek itu bertujuan mengawal tikus perosak di dalam kampus dan kawasan sawah yang terletak berdekatan kawasan itu.

"Burung itu akan makan tikus-tikus yang ada di sekitar kampus. Ia berikutan spesies rodensia itu boleh menjejaskan kesihatan.

"Di samping itu, burung tersebut juga boleh mengawal tikus di ladang berhampiran kerana ia mampu terbang sejauh 50 kilometer. Situasi itu akan menjadikan persekitaran itu lebih sihat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan USAINS Barn Owl Research Center @ USM Kubang Kerian (UBORG) dan penukaran nama USAINS Healthcare sempena 25 tahun dalam industri di sini.

Projek berkenaan juga dijangka akan menyokong amalan pertanian mesra alam di samping membantu meminimumkan kerugian petani akibat kerosakan yang dilakukan tikus.

Awang Adek berkata, pencapaian sempena 25 tahun Usains mencerminkan komitmen kumpulan syarikat berkenaan dalam menyokong pembangunan, penyelidikan dan kepakaran universiti.

Usains Healthcare merupakan satu kejayaan kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan eksekutif di Kubang Kerian.

Pada awalnya ia bermula dengan hanya 10 katil dan kini bertambah kepada 40 katil dan memberikan pulangan hasil sebanyak RM38 juta tahun lalu.


(Awang Adek Hussin)

  • Created on .
  • Hits: 269

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024