BERITA DALAM TALIAN: GUNA BURUNG HANTU SEBAGAI EJEN KAWALAN BIOLOGI
Utusan Malaysia
Guna burung hantu sebagai ejen kawalan biologi
Oleh MUSTAQIM MOHAMED | 27 Ogos 2023
AWANG Adek Hussin (kiri) diberikan penerangan mengenai burung pungguk jelapang oleh pensyarah pakar, Dr. Hasber Salim di pekarangan Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan semula kaedah penggunaan burung hantu liar atau pungguk jelapang sebagai ejen kawalan biologi dalam usaha melestarikan semula industri pertanian negara bagi membanteras makhluk perosak.
Pengerusi Lembaga Gabenornya Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, penubuhan USains Barn Owl Research Centre @ USM Kubang Kerian (U Borg) itu dilihat mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan racun dalam sektor pertanian.
Menurutnya, sebagai permulaan projek rintis itu menggunakan burung hantu liar dari spesis Tyto javanica javanica untuk tujuan khidmat komuniti.
“Ia merupakan salah satu projek di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh USains dan akan memberikan satu manfaat besar kepada industri pertanian negara serta masyarakat setempat.
“Usaha ini bertujuan melaksanakan penggunaan burung berkenaan sebagai kaedah kawalan biologi yang berkesan bagi menghindari tikus perosak,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian U Borg dan Penukaran Nama USains Healthcare Sempena 25 Tahun Dalam Industri di Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah USains Holding Sdn. Bhd, Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Naib Canselor USM, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Awang Adek memberitahu, kajian yang dilakukan hampir di seluruh negara menunjukkan tahap tahap kecekapan tinggi dalam penggunaan burung pungguk jelapang sebagai kaedah kawalan tikus di ladang pertanian dan kawasan sub bandar.
Katanya, melalui kerjasama USains dan BORG USM, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian akan berfungsi sebagai hub pembangunan populasi burung pungguk jelapang.
“Program ini bertujuan memberi perkhidmatan kawalan tikus perosak di dalam kampus dan kawasan sawah yang terletak berdekatan kampus di sepanjang Sungai Kemasin.
“Projek ini dijangka akan menyokong amalan pertanian mesra alam di samping membantu petani meminimumkan kerugian tanaman di ladang dan sawah padi akibat dirosakkan oleh tikus,” ujarnya.
Awang Adek berkata, penubuhan hub tersebut juga dapat memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan khususnya tiada kemiskinan, kelaparan sifar, akses pendidikan berkualiti, pekerjaan yang sesuai, pembangunan ekonomi.
“Ia sekali gus dapat mencapai matlamat melestarikan pembangunan mampan ekosistem darat serta memenuhi CSR USains terhadap komuniti di Kubang Kerian,” ujarnya.-UTUSAN
- Created on .
- Hits: 413