USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: TAQARRUB KEPADA ALLAH RAHSIA KEJAYAAN

My Metro
Taqarrub kepada Allah rahsia kejayaan
Oleh Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi | 9 Ogos 2023

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Semua individu berkeinginan untuk berjaya dalam setiap bidang yang diceburi, cuma bentuk kejayaan itu saja yang berbeza. Misalnya, kejayaan seorang peniaga adalah memiliki perniagaan yang maju; kejayaan seorang petani adalah mendapat hasil tuaian yang banyak dan berkualiti; kejayaan seorang atlet adalah kemenangan dalam setiap perlawanan yang disertai; dan kejayaan seorang pelajar adalah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki.

Bagi seseorang pelajar khususnya, nilai murni dalam diri seperti sentiasa bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT, menghormati ibu bapa, guru, kuat berusaha, berdisiplin, tidak mudah berputus asa, bersemangat tinggi menjadi faktor penting dalam mencapai kejayaan cemerlang.

Jika diperhatikan kaedah dan cara belajar pelajar yang cemerlang dalam setiap peperiksaan, didapati mereka menggunakan resipi sama iaitu sentiasa mengingati dan bertaqarrub dengan Allah SWT sebelum dan sesudah mengulang kaji pelajaran.

Justeru, dengan memiliki kekuatan diri yang seimbang iaitu kekuatan rohani dan jasmani, mereka akhirnya muncul sebagai pelajar yang cemerlang. Jika diteliti makna taqarrub, ia merujuk kepada usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui pelaksanaan amal ibadah (wajib dan sunat) serta amal soleh lain dengan penuh keikhlasan tanpa rasa malas dan jemu sedikit pun. Allah SWT amat menyayangi dan memuliakan orang yang sentiasa bertaqarrub kepada-Nya.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada dia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya." (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan kepentingan hubungan antara makhluk dengan penciptanya. Makhluk itu ialah hamba kepada penciptanya, manakala pencipta pula ialah tuan kepada sekalian makhluk. Sebagai hamba, ia sepatutnya patuh dan taat kepada perintah tuannya iaitu Allah SWT. Jika si hamba itu patuh dan taat setia, nescaya Allah SWT akan menyayangi dan memuliakannya.

Jelas sekali, Allah SWT amat mencintai setiap hamba-Nya yang sentiasa patuh dan taat kepada segala perintah-Nya iaitu dengan mengerjakan semua amalan wajib, malah ditambah pula dengan amalan sunat. Allah SWT amat mencintai orang mukmin sebegini. Kedudukan mereka Allah SWT angkat dan diletakkan di bawah naungan dan pemeliharaan-Nya.

Dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT ini, seseorang itu hendaklah melakukannya secara berperingkat. Ia semestinya dimulai dengan mengerjakan amalan wajib yang berupa fardu ain mahupun fardu kifayah, diikuti dengan amalan nawafil (sunat). Hal ini samalah seperti orang yang berhutang, sudah tentu ia wajib membayar hutangnya terlebih dulu sebelum ia memberi derma atau sedekah.

Secara mudahnya, amalan nawafil ini ialah amalan sukarela (sunat) daripada segala macam ibadat yang zahir seperti membaca al-Quran. Membaca al-Quran ini dikira setinggi-tinggi darjat taqarrub kepada Allah SWT yang boleh dilakukan oleh manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tiada sesuatu taqarrub yang dikerjakan oleh hamba Allah terhadap Tuhannya, seperti apa yang keluar daripada mulutnya (iaitu membaca al-Quran." (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menjelaskan membaca al-Quran itu akan mengangkat manusia ke darjat yang tinggi di sisi Allah SWT kerana ia dianggap sebagai suatu taqarrub kepada-Nya. Selain itu, al-Quran ialah kalam Allah SWT yang menerangi hidup manusia dan memancarkan nur Ilahi ke dalam hatinya.

Sayyidina Usman bin Affan r.a. mengatakan, orang yang tidak membaca al-Quran itu hatinya masih kotor. Jika hati itu bersih dan suci, nescaya ia tidak akan merasa puas membaca al-Quran. Sebab itu juga, ketika beliau mati dibunuh oleh pemberontak, beliau sedang membaca al-Quran, sehinggakan darahnya mengalir di atas lembaran al-Quran yang dibaca itu.

Selain bertaqarrub dengan membaca al-Quran, kita juga boleh bertaqarrub dengan berzikir kepada Allah SWT. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Mu'az bin Jabal RA katanya, "Aku bertanya Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, beritahulah kepada aku tentang amalan utama yang boleh mendekatkanku kepada Allah. Baginda menjawab: Hendaklah ketika engkau hendak mati, lisanmu lembut dengan zikrullah." (Riwayat al-Bazzar)

Memang zikrullah itu amalan yang sangat dituntut oleh syariat Islam yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh seseorang Muslim sejati. Allah berfirman yang bermaksud, "Maka ingatlah Aku (berzikir) supaya Aku mengingatimu." (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud, "Aku berada bersama-sama hamba-Ku setiap kali ia mengingati-Ku dan setiap kali kedua-dua belah bibirnya bergerak-gerak menyebut-Ku (berzikir)."

Selain dua amalan itu, kita juga boleh bertaqarrub kepada Allah dengan mengerjakan solat dan puasa sunat. Kedua-dua amalan ini sangat digemari oleh orang-orang soleh kerana ia tambahan kepada ibadat wajib. Setiap Muslim tidak seharusnya meninggalkan ibadat sunat seumpama ini. Setidak-tidaknya lakukanlah sekadar yang mampu pada masa-masa tertentu.

Kelebihan bertaqarrub kepada Allah SWT seperti yang dijelaskan di atas, sudah jelas terbukti kebenarannya apabila pelajar yang cemerlang baru-baru ini, mereka menjadikan amalan nawafil untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, sama ada sebelum dan selepas mengulang kaji pelajaran.

Mereka sentiasa membaca al-Quran, berpuasa sunat dan menunaikan solat sunat seperti solat tahajud dan hajat. Dengan demikian hati mereka menjadi bersih dan sentiasa disinari nur Ilahi. Justeru, mereka dengan mudahnya dapat memahami dan mengingati ilmu yang dipelajari.

Jelaslah Allah SWT amat menyayangi pelajar yang sentiasa mengingati dan mendekati-Nya dalam pembelajaran mereka. Akhirnya mereka menjadi pilihan Allah SWT untuk diberi ganjaran dan kedudukan yang mulia sebagai seorang pelajar yang cemerlang.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud, "Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan-Nya. Dan mereka (yang ingkar) bergembira dengan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat." (Surah al-Ra'ad, ayat 26)

Diharapkan pelajar Muslim khususnya, dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT sepanjang masa. Semoga mereka mudah memahami dan mengingati segala ilmu yang dipelajari. Di samping itu juga, mudah memperoleh kejayaan cemerlang di dunia dan di akhirat nanti.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

  • Created on .
  • Hits: 346

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024