USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: ISLAM SEBAGAI AGAMA SYUMUL

MyMetro
Islam sebagai agama syumul
BERSAMA Dr Mohd Shukri Hanapi | 17 Julai 2023

DALAM peristiwa hijrah  Rasulullah SAW mula melaksanakan ajaran Islam secara lebih menyeluruh.
DALAM peristiwa hijrah Rasulullah SAW mula melaksanakan ajaran Islam secara lebih menyeluruh.

Peristiwa hijrah kaum Muslimin yang ketuai Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah adalah satu peristiwa besar dalam sejarah Islam. Hal ini kerana bermula dari situ Islam disebarkan ke serata dunia. Dalam erti kata lain, ia titik permulaan pembangunan sistem nilai dan hidup manusia daripada keadaan lemah serta kekurangan kepada satu keadaan lebih kuat.

Peristiwa agung ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Qur'an. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Taubah ayat 40).

Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan peristiwa Hijrah itu bukan mudah. Dalam peristiwa itu, Baginda Nabi SAW dan sahabat karibnya Abu Bakar al-Siddiq menempuh pelbagai ujian dan halangan ketika mahu berhijrah dari Makkah ke Madinah (sebelum itu dikenali sebagai Yathrib) hingga Baginda Nabi SAW terpaksa bersembunyi di dalam gua bagi mengelak dikesan musyrikin Makkah pada ketika itu.

Disebabkan perasaaan tidak senang kaum musyrikin Makkah terhadap Rasulullah SAW sehinggakan mereka mengatur perancangan membunuh Baginda Nabi SAW, maka Allah SWT perintahkan Baginda keluar meninggalkan Kota Makkah tanah air tercinta menuju ke Madinah.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan Imam al-Bukhari bahawa Ibn 'Abbas r.a. mengatakan "Nabi SAW dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun dan Baginda tinggal di Mekah 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Setelah itu Baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintah berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun." (Riwayat al-Bukhari)

Ada banyak perkara dibincang berkaitan peristiwa Hijrah ini. Antaranya maksud perkataan hijrah. Hijrah biasanya sinonim dengan makna perpindahan dari satu tempat ke tempat lain. Dalam Kamus Dewan, hijrah bermaksud perpindahan Baginda Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Selain itu, ia bermaksud penghijrahan perbuatan ataupun perihal berhijrah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah menjelaskan satu pengertian menarik tentang hijrah ini. Menurut Baginda SAW, hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal semata-mata, tetapi perubahan jiwa ke arah baik dan menjauhkan diri daripada perkara ditegah oleh Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah SWT." (Riwayat Abu Dawud).

Dalam satu riwayat lain, Baginda SAW memperincikan lagi maksud hijrah dengan makna meninggalkan segala dosa dan maksiat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan segala kesalahan dan dosa." (Riwayat Ahmad).

Jelas di sini dalam konteks lebih luas hijrah bukan sekadar difahami sebagai satu bentuk perubahan fizikal, malah ia boleh difahami sebagai perpindahan dari keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Misalnya, meninggalkan segala ajaran atau pegangan yang bertentangan dengan syariat Islam dan kembali kepada ajaran serta kefahaman Islam yang sebenar.

Adapun peristiwa hijrah yang kita sambut setiap tahun itu bermaksud memperingati peristiwa penghijrahan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah.

Namun begitu, hijrah tidak wajar dilihat sebagai peristiwa berpindahnya Muslimin dari Makkah ke Madinah, lantas menjadi detik permulaan tarikh baru takwim Islam sahaja. Kefahaman sempit begini hanya mendorong kita menyambut kedatangan tahun baru hijrah dengan pelbagai program bersamaan dengan peringatan tahun baru Masihi.

Dalam pada itu, para ulama menolak hijrah sebagai satu 'pelarian' dan 'arbitrasi' sebagaimana ditafsir sesetengah orientalis yang sengaja mahu memutar belitkan pengertian suci dari peristiwa Hijrah.

Penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat itu suatu peristiwa sejarah penting dalam perkembangan dan penyebaran Islam. Ia memberi ruang lebih luas kepada pelaksanaan ajaran Islam, bukan sahaja dari aspek akidah dan hubungan manusia dengan Allah SWT, malah merangkumi segala aspek kehidupan manusia.

Penghijrahan tersebut satu tuntutan agama yang perjalanannya diatur cukup rapi dengan strategi lengkap, lantas menjadikannya satu amalan keagamaan yang agung.

Ia langkah penting melalui perancangan teratur untuk mengubah wajah dan perwatakan dunia serta menentukan arah masa depan sejarah manusia ke arah kesejahteraan, kebahagiaan dan kemajuan yang sebenarnya.

Dengan hijrah ini, umat manusia berpindah daripada belenggu jahiliah kepada Islam, kemunduran kepada kemajuan, dari hidup berpuak-puak dan bersengketa kepada persaudaraan dan kesatuan dan dari agama dianuti sekumpulan manusia di padang pasir kepada agama dianuti sebahagian besar penduduk di segenap pelusuk dunia.

Peristiwa hijrah bukan sahaja meninggalkan sejarah untuk dikenang umat Islam hingga ke hari ini dan dirayakan setiap tahun, malah peristiwa tersebut membawa beberapa hikmah dan pengajaran di sebaliknya.

Dalam peristiwa hijrah itu, setelah sampai di Madinah, Rasulullah SAW mula melaksanakan ajaran Islam secara lebih menyeluruh. Setiap individu muslim sentiasa dididik supaya patuh, menyerah dan menyembah Allah SWT dan taat kepada ajaran yang didasarkan kepada ajaran al-Qur'an dan al-Sunnah Rasulullah SAW.

Berdasarkan keimanan itulah terbinanya masyarakat Islam yang mentaati semua perkara difardukan Allah SWT dalam ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Masyarakat Islam patuh dalam menjauhi diri daripada setiap perbuatan keji yang boleh membawa kemudaratan kepada diri dan masyarakat, seperti meminum arak, berzina, riba, rasuah dan sebagainya.

Masyarakat Islam di Madinah disatukan dalam ikatan persaudaraan atas semangat perpaduan berorientasikan ajaran Islam. Di samping itu, persefahaman dan kerjasama dengan golongan bukan Islam juga diwujudkan untuk membuktikan Islam sentiasa mengutamakan keselamatan, persefahaman, persahabatan, anti permusuhan dan peperangan.

Tegasnya, peristiwa hijrah membuktikan Islam bukan sahaja agama dalam pengertian yang sempit dan hanya menyentuh soal ibadat khusus sahaja, tetapi ia agama yang syumul (menyeluruh) menyentuh segala perkara bersangkutan dengan bidang kehidupan manusia, seperti politik, ekonomi, sosial, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Oleh sebab itu, konsep hijrah bukan sahaja difahami daripada perspektif perpindahan tempat secara lahiriah atau fizikal, tetapi daripada perspektif dan pendekatan lebih luas yang boleh membawa kita kepada memahami segala pengajaran di sebalik peristiwa tersebut.

Kejayaan pembangunan berteraskan Islam dan umatnya selepas peristiwa hijrah menjadi dokumen sejarah yang merakamkan kemenangan umat manusia.

Jika kita ingin menjadi umat yang kuat, dicontohi, mulia dan maju dalam semua aspek kehidupan seperti yang telah ditunjukkan oleh generasi Islam terdahulu, maka masyarakat Islam sewajarnya mengalukan-alukan kedatangan Hijrah 1445 dengan terus mengambil iktibar daripada peristiwa suci ini.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

  • Created on .
  • Hits: 422

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024