BERITA DALAM TALIAN: JKR TERIMA MANFAAT TEKNOLOGI BAHARU TURAPAN JALAN
Melaka Hari Ini
JKR terima manfaat teknologi baharu turapan jalan
Oleh Farah Suhaidah Othman | Selasa, 11 Julai 2023
ALEXENDER (tengah) menyaksikan pertukaran MoU di antara JKR dengan Petronas dan USM selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan JKR di sebuah hotel di Banda Hilir. Foto: Alexender Nanta Linggi
BANDA HILIR 11 Julai – Jabatan Kerja Raya (JKR) bakal menerima manfaat dalam penggunaan teknologi baharu turapan jalan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroleum Nasional Berhad (Petronas).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata, jalinan kerjasama itu berupaya membantu JKR meneroka inovasi dan produk terkini yang dapat membantu aspek baik pulih jalan raya dengan kos lebih rendah dan kualiti lebih baik.
Tambah beliau, menerusi MoU itu juga, JKR bersama Petronas turut bersetuju mempertingkatkan dan membangunkan keupayaan teknikal, penyelidikan serta teknologi dalam industri minyak dan gas.
“Petronas mempunyai produk yang boleh diguna pakai JKR terutama dalam penggunaan bahan untuk membaiki jalan raya sepertimana yang digunakan pada projek rintis JKR.
“Selain itu, kita berharap dapat mempertingkatkan kegunaan produk baharu atau mungkin bahan digunakan (untuk baiki jalan raya) dari segi kos lebih murah atau setidak-tidaknya bahan yang digunakan memanjangkan usia jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan JKR dan menyaksikan Pemeteraian MoU di antara JKR dengan Petronas dan Universiti Sains Malaysia (USM) di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool.
Dalam persidangan yang diadakan bermula Selasa hingga Khamis ini, seramai 420 pegawai-pegawai kanan JKR termasuk pengarah cawangan dan negeri, jurutera daerah dan pegawai-pegawai kader dari seluruh negara mengambil bahagian.
Dalam pada itu, Alexender memaklumkan jalinan MoU bersama USM pula dapat membantu kedua-dua pihak memastikan perundingan dan penyelidikan bidang kejuruteraan forensik dapat dilaksanakan.
“Perkongsian data melalui MoU itu dapat mengembangkan cabang ilmu berkaitan infrastruktur terutama dalam bidang kejuruteraan awam.
“USM mempunyai alat terkini dan JKR boleh mengguna pakai produk mereka dalam melaksanakan penyelidikan forensik sekali gus dapat dimanfaatkan dalam kalangan penyelidik, golongan teknikal dan penggiat industri,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan Pertukaran Dokumen Projek Kerjasama bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Menurut beliau, kerjasama berkenaan adalah bertujuan berkongsi kepakaran serta kemudahan ke arah Pendigitalan Sektor Awam dengan mengguna pakai teknologi angkasa seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS), Sistem Penentukedudukan Global (GPS) dan Teknolgi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
“Antara manfaat yang diperolehi menerusi penukaran dokumen itu termasuk dari segi pengumpulan data spatial menjadi lebih efisien melalui imej satelit selain penjimatan masa bagi kerja cerapan data di tapak pembinaan.
“MoU dan penukaran dokumen ini adalah langkah terbaik dan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta JKR akan teruskan selain melihat peluang kerjasama yang lain,” katanya.
- Created on .
- Hits: 355