BERITA DALAM TALIAN: PASUKAN USM SASAR TEMPAT TERATAS KEJOHANAN DRON DUNIA
Suara Sarawak
Pasukan USM sasar tempat teratas kejohanan dron dunia
Oleh Bernama | NASIONAL | 5 Julai 2023
Gambar hiasan
NIBONG TEBAL: Menjadi satu-satunya wakil Malaysia di Kejohanan Dron Dunia, pasukan SkyScanner dari Universiti Sains Malaysia (USM) menanam azam serta berkobar-kobar untuk menjuarai acara itu yang berlangsung di Yokohama, Jepun.
Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM Profesor Dr Farzad Ismail berkata tujuh penuntut tahun ketiga akan mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang berlangsung dari 10 hingga 13 Julai ini.
“Dron itu sebenarnya untuk digunakan bagi misi menyelamat dan beratnya kira-kira 5 kilogram (kg). Ia sepatutnya bergerak di kawasan bencana dan menyalurkan bantuan seperti bekalan perubatan atau makanan seberat 300 gram (g).
“Jadi, dron itu sepatutnya bergerak secara autonomi tanpa pemandu sejauh 16 kilometer sehala dan kembali. Selepas itu, ia sepatutnya melakukan tinjauan dan melaporkan jika berlaku sebarang bencana di kawasan tersebut, ia sepatutnya menggugurkan bekalan dan kembali,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan pasukan SkyScanner ke kejohanan itu di sini semalam.
Ketua pasukan SkyScanner iaitu Nur Aisyah Muhamad Shariff pula berkata mereka mengambil masa tiga bulan setengah untuk menyiapkan projek itu dengan dron boleh mencapai kelajuan hingga 90 kilometer sejam dan mampu terbang selama sejam.
“Bagi membolehkan dron terbang secara autonomi, kami melakukan beberapa pengubahsuaian dan integrasi sistem, contohnya terhadap pengawal penerbangan, kamera, ruangan simpanan muatan, antena jarak jauh, pengesan GPS dan modul evolusi jangka panjang (LTE) untuk melihat rakaman video dalam julat serta seterusnya, dengan syarat kami mempunyai liputan 4G yang baik. Kami menyasarkan untuk menduduki dua tangga teratas dalam kejohanan ini,” katanya.
Kejohanan Dron Dunia ialah pertandingan yang menyaksikan penyelidikan dan pembangunan pesawat udara tanpa pemandu dilaksanakan di seluruh dunia dan ia bukan hanya dimanfaatkan bagi tujuan industri tetapi juga untuk respons bencana serta bermanfaat bagi menyelamatkan nyawa.
Kejohanan ini tajaan bersama Persekutuan Antarabangsa Kawalan Automatik (IFAC) yang telah memberikan sumbangan besar kepada kemajuan aktiviti saintifik dan teknologi dalam bidang kawalan automatik.
Setiap tiga tahun, IFAC akan menganjurkan Kongres Dunia IFAC yang merupakan acara terbesar dalam bidang sains dan teknologi kawalan di seluruh dunia. — BERNAMA
- Created on .
- Hits: 257