BERITA DALAM TALIAN: RAWATAN PERENCAT KANSER
Berita Harian
Rawatan perencat kanser
Oleh Dr Rafeezul Mohamed | 2 Julai 2023
Kombinasi rawatan perencat pusat pemeriksaan imun dengan rawatan kanser lain.
SISTEM imun berperanan penting bagi menghalang badan daripada dijangkiti oleh sebarang penyakit termasuk kanser.
Bagaimanapun, sel kanser mempunyai kebolehan untuk bersembunyi atau mengelak daripada dikesan serta dimusnahkan oleh sistem imun, dan ini membolehkan sel-sel kanser terus berkembang.
Sistem imun sangat bergantung kepada sel T untuk membunuh sel kanser. Aktiviti sel T ini dikawal oleh pusat pemeriksaan imun, iaitu pusat pemeriksaan imun positif mengaktifkan sel T manakala pusat pemeriksaan imun negatif menghalang pengaktifan sel T.
Pemenang hadiah nobel dalam bidang fisiologi atau perubatan 2018, Prof James P Allison dan Prof Tasuku Honjo mengenal pasti dua protein yang bertindak sebagai pusat pemeriksaan imun iaitu CTLA-4 dan PD-1 yang terletak di permukaan sel T.
Panjangkan hayat pesakit
Rawatan anti-CTLA-4, anti-PD-1 dan anti-PDL-1 telah membawa perubahan penting dalam rawatan kanser pada hari ini.
Ia antara jenis rawatan imunoterapi yang memanfaatkan sistem imun badan untuk melawan kanser.
Anti-CTLA-4 atau dikenali sebagai Ipilimumab (Yervoy®) adalah ubat bertujuan menghalang fungsi molekul dikenali sebagai CTLA-4.
Molekul ini bertindak sebagai 'brek' dalam sistem imun yang menghalang tindak balas imun yang terlalu kuat.
Dengan melepaskan brek ini menggunakan ubat anti-CTLA-4 ini, sel T akan teraktif dan berfungsi dengan berkesan dalam melawan kanser.
Ipilimumab ini berjaya memanjangkan hayat pesakit melanoma lanjutan.
Ubat kesan sel kanser
Anti-PD-1 dan anti-PDL-1 berfungsi dengan mekanisma yang sedikit berbeza anti-CTLA-4.
PD-1 adalah molekul terdapat pada permukaan sel-sel imun yang berfungsi menghalang aktiviti imun terhadap sel kanser.
Molekul PD-L-1 ditemui di permukaan sel kanser dan akan berinteraksi dengan PD-1 pada sel imun. Ubat anti-PD-1 seperti Pembrolizumab (Keytruda®) dan Nivolumab (Opdivo®) manakala ubat anti-PDL-1 seperti Atezolizumab (Tecentriq®), Avelumab (Bavencio®) and Durvalumab (Imfinzi®) berfungsi untuk menghalang interaksi ini, mengaktifkan semula sel T untuk mengenali dan menyerang sel kanser.
Dengan menghalang interaksi antara PD-1 dan PD-L1, ubat-ubatan ini akan merangsang sistem imun untuk mengenali sel kanser sebagai ancaman dan memusnahkannya.
Ubat anti-PD-1 and anti-PDL-1 ini sudah digunakan untuk rawatan kanser pundi kencing, kanser payudara, kanser paru-paru sel bukan kecil, limfoma hodgkin dan melanoma.
Gabungan rawatan beri kesan optimum
Beberapa kajian terbaharu menunjukkan gabungan rawatan perencat pusat pemeriksaan imun dengan rawatan kanser yang lain seperti kemoterapi, radioterapi, terapi terarah seperti sasaran terapi, boleh memberikan kesan sinergistik bagi meningkatkan keberkesanan terapi dan memberikan faedah lebih besar kepada pesakit.
Hal ini disumbangkan oleh keupayaan perencat pusat pemeriksaan imun untuk mengaktifkan sistem imun tubuh untuk melawan sel kanser dengan lebih berkesan.
Sementara rawatan lain turut berjaya memusnahkan atau menghalang pertumbuhan sel kanser.
Gabungan kedua-dua rawatan ini dapat memberikan kesan optimum, membantu mengawal perkembangan sel kanser dengan lebih baik dan meningkatkan keupayaan badan pesakit untuk mencapai tindak balas lebih baik terhadap rawatan diberikan.
Bagaimanapun, setiap pesakit kanser adalah unik dan keputusan mengenai rawatan gabungan harus ditentukan pasukan perubatan berkelayakan berdasarkan jenis kanser, tahap penyakit, faktor individu pesakit dan bukti klinikal sedia ada.
Kesan sampingan
Walaupun rawatan perencat pusat pemeriksaan imun dan gabungannya ini memberi kesan positif kepada pesakit kanser, ia boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan tertentu.
Antara kesan sampingan, pesakit kanser mengalami ruam kulit, gatal-gatal atau kemerahan kulit, gangguan pada saluran pencernaan yang menyebabkan pesakit mengalami loya, muntah, cirit-birit atau sakit perut.
Pesakit mungkin mengalami gangguan hati disebabkan oleh peningkatan enzim hati, selain juga mengalami perubahan fungsi tiroid yang boleh mengakibatkan gejala seperti keletihan, berat badan berubah dan gangguan suhu badan.
Ia juga membuatkan reaksi imunologi lain yang menyebabkan masalah seperti keradangan pada organ tertentu atau dikenali sebagai kejadian autoimun.
Reaksi seperti ini boleh membabitkan pelbagai bahagian badan dan memerlukan rawatan segera.
Kesan sampingan ini tidak berlaku kepada semua pesakit menjalani rawatan perencat pusat pemeriksaan imun dan setiap pesakit mungkin menghadapi pengalaman berbeza.
Pasaran global perencat pusat pemeriksaan imun
Mengikut data The Business Research Company, pasaran global bagi perencat pusat pemeriksaan imun ini telah meningkat tinggi.
Peningkatan disebabkan pertambahan kes kanser di seluruh dunia. Bagaimanapun, kos tinggi rawatan perencat pusat pemeriksaan imun dijangkakan mengehadkan permintaan terhadap ubat ini.
Kos dilaporkan bagi dos lengkap terapi perencat pusat pemeriksaan imun yang diberi secara intravena adalah sekitar USD150,000 (RM690,000) sehingga USD250,000 (RM1.2 juta).
Justeru, rawatan menggunakan perencat pusat pemeriksaan imun, iaitu anti-CTLA-4, anti-PD-1, dan anti-PDL-1 serta gabungannya adalah satu kejayaan besar dalam rawatan kanser.
Ia memanfaatkan daya kekuatan sistem imun untuk melawan sel kanser dengan lebih berkesan, memberikan pilihan rawatan baharu dan memanjangkan hayat ramai pesakit kanser.
Walaupun kos rawatan itu mahal, keberkesanannya yang dibuktikan melalui kajian klinikal serta mendapat kelulusan dari Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat mendorong pesakit kanser berkemampuan menjalani terapi menggunakan ubat perencat pusat pemeriksaan imun ini.
* Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bioperubatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia (USM).
Apabila kedua-dua protein ini berinteraksi dengan protein di permukaan sel kanser atau sel imun yang lain, fungsi sel T akan dinyahaktifkan dan tidak berupaya untuk menyerang sel kanser.
- Created on .
- Hits: 302