BERITA DALAM TALIAN: LEMBU 'SADO' 750KG JADI TUMPUAN IBADAH KORBAN DI USM
Utusan Malaysia
Lembu ‘sado’ 750kg jadi tumpuan ibadah korban di USM
Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN | 29 Jun 2023
SEEKOR lembu 'sado' seberat 750 kg menjadi tumpuan dalam ibadah korban yang dijalankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampus Induk USM di George Town, Pulau Pinang hari ini.
GEORGE TOWN: Seekor lembu ‘sado’ seberat 750 kilogram (kg) menjadi tumpuan dalam ibadah korban yang dijalankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Lembu jenis baka Charolis berharga RM11,000 itu merupakan antara 20 ekor lembu dan 20 ekor kambing yang dikorbankan dalam sambutan Hari Raya Aidiladha yang dirai dalam majlis tersebut.
Terdahulu, majlis itu bermula dengan solat sunat Aidiladha yang dihadiri lebih 1,000 jemaah warga USM, ahli kariah, orang awam dan pelajar antarabangsa USM yang menambahkan lagi suasana kemeriahan dalam semangat kekeluargaan sambutan perayaan tahun ini.
Khutbah Aidiladha pula disampaikan Pegawai Agama, Ustaz Nukman Ahmad Zakir bertajuk “Hayati dan Syukuri”.
Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, beliau berharap semua warga USM sentiasa bersyukur dengan perayaan tahun ini dan terus memelihara kesejahteraan.
“Kepada seluruh warga USM, bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan dan terus menghayati erti pengorbanan walau dalam apa jua cabaran yang dihadapi,” katanya yang turut mengucapkan Salam Aidiladha buat semua warga USM dan seluruh masyarakat Islam yang meraikan. – UTUSAN
- Created on .
- Hits: 312