USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: USM: POTENSI BESAR TEKNOLOGI AEROANGKASA DI MALAYSIA

Media Permata
USM: Potensi besar teknologi aeroangkasa di Malaysia
28 June 2023

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) yang melancarkan satelit pertamanya ke angkasa di Rusia hari ini, mengunjurkan potensi besar dalam pembangunan ekosistem teknologi aeroangkasa di Malaysia, melalui kerjasama ahli akademik, pemain industri dan pengawal selia.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeorangkasa, Kampus Kejuruteraan USM, Prof Dr Farzad Ismail berkata universiti itu memeterai perjanjian jangka panjang dengan firma teknologi aeroangkasa tempatan, Angkasa-X Innovation Sdn Bhd bagi membangunkan dan melancarkan sekurang-kurangya 400 satelit Orbit Rendah Bumi (LEO).

“Fungsi satelit ini amnya untuk menyampaikan liputan Internet yang lebih baik, terutama di kawasan luar bandar, sekali gus memberikan manfaat kepada pelajar di sana.

Memandangkan kos memasang gentian optik adalah tinggi, penggunaan satelit adalah satu-satunya kaedah yang boleh dilaksanakan dan selari dengan USM, kerana kami bermatlamat membantu golongan berpendapatan rendah dan meningkatkan sosioekonomi mereka.

“Kami di USM ada kemahiran dan pengetahuan dalam teknologi satelit, namun pembangunan teknologi ini memerlukan modal besar. Kami tersekat di peringkat ini buat seketika hinggalah Angkasa-X tampil dan bersedia menyalurkan dana,” katanya kepada Bernama.


ATAS & BAWAH: Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Farzad Ismail bersama pensyarah kanan, Dr Siti Harwani Md Yusof (kiri) menunjukkan Pocket Cube yang telah siap dihasilkan baru-baru ini. – Gambar Bernama


Gambar Bernama


Jururera Perisian SpaceIn Nur Aisyah Ahmad Zaki memasang dan menguji Pocket Qube baru-baru ini. USM dijadualkan melancarkan satelit sulungnya ke angkasa lepas di Rusia, bagi melihat potensi besar dalam membangunkan ekosistem teknologi angkasa lepas di negara ini dengan usaha gabungan daripada ahli akademik, pemain industri dan pengawal selia. – Gambar Bernama


Gambar Bernama

Di bawah perjanjian itu, Angkasa-X akan melaburkan sejumlah RM30 juta untuk menubuhkan stesen teknologi aeroangkasa di Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal yang dijangka beroperasi dalam tempoh tiga bulan bagi menerima isyarat daripada satelit di angkasa.

Misi melahirkan jurutera satelit

Beliau berkata universiti pula akan menumpukan pada pembangunan modal insan, khususnya untuk melahirkan jurutera satelit melalui program yang akan bermula pada Januari tahun depan.

“Menerusi dana daripada Angkasa-X, kami kini boleh menumpukan pada usaha mengeluarkan jurutera satelit yang tidak kurang pentingnya, kerana sebagus mana sekalipun teknologi, tidak akan berfungsi tanpa tenaga manusia.

“Pada masa ini, fakulti kami menerima kira-kira 1,000 pendaftaran pada setiap pengambilan, namun tempat masih terhad disebabkan saiz fasiliti kami. Sehubungan itu, kami hanya dapat menerima 60 hingga 70 pelajar pada setiap pengambilan,” tambahnya.

Beliau berkata kerjasama dengan Angkasa-X akan turut membantu dari segi peluang pekerjaan buat pelajar terbabit selepas mereka menamatkan pengajian, memandangkan tidak banyak peluang yang ditawarkan dalam bidang itu di Malaysia buat masa ini.

Pensyarah kanan Dr Siti Harwani Md Yusof pula berkata walaupun satelit tempatan ini belum mampu bersaing dari segi teknologi dengan pemain industri yang telah kukuh, USM ada kelebihan dalam bentuk kos kerana ia memanfaatkan sumber tempatan di Pulau Pinang yang merupakan hab bagi semikonduktor dan elektronik.

“Menerusi dana daripada Angkasa-X, kami ada perancangan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan teknologi kami. Bagaimanapun, kami boleh mengurangkan kos bagi menarik pelanggan berpotensi di rantau Asia Tenggara dalam jangka masa singkat.

“Oleh sebab kami mengeluarkan satelit menggunakan sumber dan jurutera tempatan, kami boleh menawarkan satelit ini pada kos lebih rendah berbanding yang ditawarkan oleh syarikat di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun. Apabila pelaburan dan permintaan mula masuk, kami boleh menambah baik R&D. Ini adalah rancangan kami bagi melonjakkan industri,” katanya.

Peluang industri manfaatkan satelit

Beliau berkata satelit A-SEANSAT-PG1 milik Angkasa-X dilancarkan di Rusia, bukanlah satelit terakhir yang dilancarkan tahun ini.

Sebaliknya, USM menerusi syarikat hiliran SpaceIn Sdn Bhd, merancang untuk melancarkan satelit kiub poket pada Oktober depan, menggunakan pelancar SpaceX di California, AS.

Siti Harwani berkata satelit kiub poket adalah kecil dengan berat tidak sampai satu kilogram, berperanan menyimpan dan menghantar data ke stesen bumi.

Walapun kecil dan ringkas, beliau berkata satelit terbabit adalah bermanfaat bagi industri seperti pertanian, minyak dan gas (O&G) serta syarikat pembekal tenaga.

“Satelit akan mengelilingi bumi, melintasi sensor di kawasan pertanian, mengumpul data dan memuat turun data terbabit ke stesen bumi kami di USM. Pelanggan dalam sektor pertanian boleh mendapatkan data seperti jejak karbon, paras kelembapan tanah dan kesuburan kawasan.

“Syarikat O&G pula boleh menggunakan satelit ini dengan meletakkan sensor di pelantar minyak mereka yang ada di tengah-tengah laut bagi memantau suhu atau apa sahaja yang mereka perlukan. Perkhidmatan satelit amat berguna kerana liputan Internet di kawasan terbabit biasanya kurang bagus.

“Satu lagi contoh ialah syarikat utiliti yang mengoperasikan loji jana kuasa, ladang tenaga solar atau stesen kuasa hidro di tengah-tengah hutan. Menerusi perkhidmatan satelit, syarikat terbabit dapat memantau loji tanpa perlu menghantar tenaga manusia ke kawasan tersebut,” katanya.

Malaysia bakal miliki pelancar roket 20 tahun lagi?

Walaupun USM ada keupayaan mengeluarkan satelit, buat masa ini satelit terbabit perlu “menumpang” pelancar roket di AS dan Rusia.

Bagaimanapun Farzad berkata universiti itu merancang untuk membina pelancar roket sendiri apabila ekosistem teknologi aeroangkasa di Malaysia semakin kukuh.

Beliau berkata USM juga bekerjasama dengan Angkasa-X dan rakan kongsi dari Rusia, SPUTNIX, yang turut merangkumi pemindahan teknologi dan pengetahuan dalam jangka panjang.

Mengulas mengenai garis masa matlamat itu, Siti Harwani berkata perancangan itu mungkin mengambil masa 10 hingga 20 tahun untuk direalisasikan kerana usaha tersebut memerlukan penyelidikan menyeluruh dari segi teknologi dan lokasi.

“Pemilihan lokasi menjadi cabaran kerana kami perlu mengambil kira pelbagai perkara,” tambahnya. – Bernama

 

  • Created on .
  • Hits: 279

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024