USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: SATELIT A-SEANSAT-PG1 BERJAYA DILANCARKAN

Astro Awani
Satelit A-SEANSAT-PG1 berjaya dilancarkan
Oleh Hilal Azmi | Selasa, 27 Jun 2023

Satelit A-SEANSAT-PG1 berjaya dilancarkan
Pelancaran A-SEANSAT-PG1 dilakukan di Kosmodrom Vostochny, Rusia menggunakan roket Soyuz-2. - Gambar/ Angkasa-X

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan sejarah baharu apabila berjaya melancarkan satelit A-SEANSAT-PG1 pada jam 7.36 malam waktu Malaysia.

Pelancaran A-SEANSAT-PG1 di Kosmodrom Vostochny, Rusia menggunakan roket Soyuz-2 itu turut disaksikan secara langsung oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Gs. Azlikamil Napiah.

Siaran langsung di empat lokasi di Malaysia itu membabitkan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang; Pejabat MYSA, Kuala Lumpur; Pejabat GreenPro, Kuala Lumpur; dan Ibu Pejabat Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Kuching.

Menurut Dr Sean Cheah,Pengarah Urusan Kumpulan Angkasa-X, pelancaran satelit ini membawa kepada era baharu dalam perkembangan ekonomi angkasa lepas bagi rantau ASEAN.

“Kesalinghubungan menjadi keperluan utama dan ketika ini masih banyak pengguna di rantau ASEAN belum terhubung menerusi internet.

“Justeru, menerusi teknologi angkasa lepas, kita mampu menjadi penghubung untuk menjana ekonomi baharu buat Malaysia,” katanya lagi.

Dengan pelancaran satelit PG1, ANGKASA-X akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya ke arah pembentukan gugusan satelit 'Low-Earth-Orbit' (LEO) yang akan direka cipta dan dipasang di Malaysia dalam tahun akan datang.

Gugusan satelit ini akan bekerjasama dan berintegrasi untuk menawarkan perkhidmatan 'Satellite-as-a-Service' (SaaS) yang inovatif kepada negara-negara di ASEAN.

  • Created on .
  • Hits: 376

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024