USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: TAJAAN BIASISWA BIDANG PERUBATAN, PERGIGIAN DAN FARMASI AKAN DITERUSKAN

Utusan Borneo Online
Tajaan biasiswa bidang perubatan, pergigian dan farmasi akan diteruskan
Ahad, 11 Jun 2023

Anwar (tengah) bergambar bersama para hadirin pada Program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra USM hari ini. - Gambar Bernama
Anwar (tengah) bergambar bersama para hadirin pada Program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra USM hari ini. - Gambar BERNAMA

GEORGE TOWN: Tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi akan diteruskan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan itu berdasarkan situasi semasa yang mana masih terdapat keperluan bagi sektor-sektor berkenaan di dalam negara.

“Sejak minggu lalu saya ada perjumpaan khas dengan JPA dan mereka kata itu (menghentikan tajaan) adalah dasar sedia ada, dasar yang lalu.

Jadi, saya minta dikaji semula berdasarkan unjuran kita yang mana keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi itu masih ada. Maknanya, program biasiswa JPA untuk sektor-sektor ini akan diteruskan,” katanya dalam program Temu Anwar@USM di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan salah seorang peserta program itu yang juga mahasiswa USM berhubung keputusan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan akan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Bagi menjawab soalan berkenaan isu penyerapan doktor lantikan kontrak ke jawatan tetap, beliau berkata ia dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dari tiga tahun.

"Masalah doktor kontrak memang masalah yang lama dan ia tidak adil untuk mereka. Oleh itu, kita sudah mula melaksanakan (pelantikan) dari tahun ini.

Kenapa kita tidak boleh selesaikan semuanya tahun ini? Kerana ia memerlukan berbilion ringgit tapi saya jangkakan ia boleh diselesaikan kurang dari tiga tahun," katanya.

Mengulas mengenai isu peletakkan jawatan yang tinggi dalam kalangan doktor di KKM, beliau berkata ia tidak boleh dihalang jika disebabkan oleh peluang yang lebih baik di tempat lain.

"Doktor mungkin meletak jawatan dari KKM untuk bekerja di hospital swasta kerana gaji yang lebih tinggi. Tidak mengapa, kita latih sahaja doktor baharu supaya boleh mengisi ruang yang ada.

Manakala bagi pelajar JPA atau pemegang biasiswa kerajaan yang belajar di luar negara, jika mereka mendapat tawaran yang baik di sana, saya minta supaya JPA dan lain-lain memberi ruang kerana pendedahan itu baik untuk mereka. Ini perubahan dasar yang sedang dilakukan," katanya. - BERNAMA

 

  • Created on .
  • Hits: 418

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024