USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: WATER STATION, INISIATIF USM JAGA KESIHATAN WARGA KAMPUS

Sinar Bestari
Water Station, inisiatif USM jaga kesihatan warga kampus
Oleh AZLEENDA SAHALUDIN | 12 Mei 2023

Water Station disediakan secara percuma kepada mahasiswa USM dan warga kampus.
Water Station disediakan secara percuma kepada mahasiswa USM dan warga kampus.

Fenomena cuaca panas ketika Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Isnin ini akan menjadi lebih buruk dengan risiko kemarau, jerebu dan gelombang haba yang tinggi jika El Nino turut berlaku di negara ini.

Ia boleh mengundang beberapa kesan buruk terutamanya kepada golongan pelajar sekolah dan mahasiswa universiti yang boleh dikatakan terdedah dengan cuaca panas serta bahang setiap hari.

Antara kesan daripada terdedah kepada cuaca panas ketika ini adalah dehidrasi dan paling serius sekali ia boleh menyebabkan strok haba yang mampu mengancam nyawa.

Justeru itu, melihat kepada bahaya fenomena berkenaan, para pelajar dan mahasiswa sentiasa diingatkan untuk memastikan diri tidak terdedah lebih lama di kawasan panas serta minum air yang mencukupi.

Malah, sebagai langkah berjaga-jaga, Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre (PPBNC) Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif dengan menyediakan Water Station di beberapa kawasan sekitar kampus.

Pegawai Tadbir PPBNC, Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaffar berkata, inisiatif berkenaan bagi membantu mahasiswa serta warga kampus mendapatkan sumber air dengan lebih mudah lebih-lebih lagi ketika cuaca bahang yang melanda ketika ini.

“Sebagai langkah berjaga-jaga apatah lagi melibatkan soal kesihatan mahasiswa dan warga kampus, saya mewakili PPBNC mengambil pendekatan untuk menyediakan Water Station ini.

“Setakat ini, Water Station telah disediakan di laluan pejalan kaki terutamanya di kawasan asrama ke dewan kuliah bagi memudahkan mahasiswa untuk mengambil dan minum air sepanjang perjalanan ke kelas.

Mahasiswa USM mengambil kesempatan membasahkan tekak dengan penyediaan Water Station oleh pihak universiti.
Mahasiswa USM mengambil kesempatan membasahkan tekak dengan penyediaan Water Station oleh pihak universiti.

“Water Station ini juga disediakan secara percuma dan sekiranya tidak membawa bekas minuman sendiri, mereka boleh menggunakan cawan yang disediakan,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang Water Station berkenaan, Mohd Salman turut memberitahu, pihaknya akan mengenal pasti beberapa kawasan ‘hotspot’ bagi memperluaskan tempat penyediaan air di dalam kampus.

“Dengan adanya Water Station ini ia membuktikan universiti sememangnya prihatin dan cakna dengan kesihatan warga kampus khususnya mahasiswa ketika cuaca panas.

“Saya juga berharap idea Water Station ini dapat diperluaskan lagi oleh universiti-universiti luar dalam menjaga kebajikan dan kesihatan kerana walaupun usaha tersebut dilihat sebagai satu perkara yang remeh tetapi ia boleh memberikan impak lebih tinggi kepada mahasiswanya,” tambahnya lagi.

Muhammad Anif
Muhammad Anif

Sementara itu, menurut salah seorang mahasiswa USM, Muhammad Anif Mohd Robi, inisiatif universiti dalam menyediakan Water Station adalah satu usaha untuk mengatasi cuaca panas pada masa ini.

Inisiatif tersebut sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan mahasiswa memperoleh sumber air memandangkan ia disediakan di kawasan yang terbuka dan strategik.

“Alhamdulillah, dengan adanya Water Station ini saya dan rakan-rakan akan mudah mendapatkan air lebih-lebih lagi diberikan secara percuma.

“Kawasan yang diletakkan air ini juga dilihat strategik kerana terdapat sesetengah mahasiswa yang berjalan kaki untuk ke kelas dan tidak semua berkemampuan menaiki kenderaan sendiri,” tuturnya.

  • Created on .
  • Hits: 530

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024