BERITA DALAM TALIAN: USM KEMBALI CATAT SEJARAH, RAIH JUARA PERTANDINGAN DEBAT PIALA ORATOR 2023
Sinar Bestari
USM kembali catat sejarah, raih juara Pertandingan Debat Piala Orator 2023
Oleh AZLEENDA SAHALUDIN | 08 Mei 2023
Kejuaraan tahun ini adalah merupakan percubaan kali kedua selepas tewas di suku akhir tahun lepas - Abdullah Nudin
Pertandingan debat dilihat sebagai salah satu inisiatif terbaik untuk mempertajam kemahiran berucap selain memperkukuhkan kualiti seseorang pemimpin terutamanya dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi (IPT).
Mereka yang terlibat bukan sahaja dapat berkongsi pengetahuan dan informasi antara institut-institut pengajian sama ada awam atau swasta tetapi turut dilatih untuk lebih berani melontarkan pendapat.
Lebih menarik lagi baru-baru ini, Pasukan debat Universiti Sains Malaysia (USM) kembali mencatat sejarah apabila diumumkan sebagai juara dalam Pertandingan Debat Piala Orator (DEBORA) antara IPT Peringkat Kebangsaan 2023.
Pertandingan kali ke-9 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama agensi kerajaan negeri Sabah saban tahun menyaksikan pentas akhir pertarungan antara pasukan USM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.
Tahun ini kedua-dua pasukan berentap dengan usul bertajuk ‘Reformasi Politik Malaysia Nafas Baharu Pembangunan Malaysia Timur’.
Menurut salah seorang wakil pasukan debat USM, Abdullah Nudin, 23, hasil latihan yang dilakukan selama sebulan sebelum pertandingan pusingan awal dan dua minggu sebelum pertandingan akhir secara intensif akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
Katanya, perasaan gembira dan teruja tidak dapat digambarkan dengan kata-kata ketika meraih juara lebih-lebih lagi terdapat 18 pasukan debat IPT turut terlibat yang sama hebat dan handal seperti UMS, UIAM, Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Univesiti Teknologi Petronas (UTP).
“Pertandingan ini diadakan secara dalam talian di peringkat awal hingga separuh akhir dan secara fizikal di Dewan Resital UMS selaku tuan rumah.
“Kami turut bersyukur kerana kejayaan kali ini adalah percubaan kali kedua selepas tewas di suku akhir tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.
Tambah Abdullah, kemenangan kali ini juga sangat bermakna lebih-lebih lagi ia merupakan pencapaian pertama selepas memenangi Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan (Kepimpinan Pengucapan Awam) 2022 yang diterima 20 April lalu.
Selain itu, pasukan debat USM kali ini diwakili empat ahli iaitu Muhammad Hafizi Mohamad Hanafi, Muhammad Asri Zainuddin dan Nursyazana Haron.
Ujarnya lagi, kejuaraan yang diterima ini adalah titik permulaan serta persiapan untuk mencuba dan menyertai beberapa pertandingan debat anjuran Debat Diraja anjuran Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) seperti Debat Diraja, Debat Perpaduan, Debat Menteri Besar Selangor, Debat Alam Sekitar dan Debat Anti Rasuah.
Sementara itu, Abdullah turut mengucapkan terima kasih atas bimbingan dan tunjuk ajar kepada jurulatih, Jerry Yacob yang juga merupakan alumni debat USM serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Azlinda Azman yang tidak pernah berhenti memberi sokongan dan galakan sehingga hari ini.
- Created on .
- Hits: 353