USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: AWAS SERANGAN STROK HABA!

MyMetro
Awas serangan strok haba!
Oleh Hazira Ahmad Zaidi | 27 April 2023

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kota Bharu: Terdapat 200 kes penyakit berkaitan cuaca panas yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2016.

Daripada jumlah kes berkenaan, 52 kes dilaporkan adalah kejang panas (heat cramps iaitu hipertermia dan kejang otot); 126 kes adalah letih panas (kelesuan dan pitam); dan 22 kes adalah strok haba (kulit kemerahan dan kering, loya, muntah dan koma) yang mana dua kematian disebabkan strok haba.

Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain berkata, strok haba adalah suatu penyakit serius akibat pendedahan keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan dan ia berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40 darjah celsius atau lebih, di mana kejadian strok haba boleh berlaku secara tiba-tiba atau berperingkat.

"Kadar kejadian strok haba adalah berbeza bergantung kepada faktor geografi, cuaca dan aktiviti penduduk setempat. Bagaimanapun, risiko strok haba adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeliling melebihi 39.2 darjah Celsius," katanya.

Menurutnya, individu yang melakukan aktiviti atau bekerja dalam keadaan sekeliling yang panas dikenal pasti berisiko tinggi mendapat strok haba seperti pekerja pembinaan, petani, pengawal keselamatan, polis, tentera, bomba, pengendali jentera berhaba, atlet dan aktiviti luar yang dijalankan di bawah sinaran matahari terik.

Katanya, selain itu, beberapa golongan rentan juga dikenal pasti meningkatkan lagi risiko mendapat strok haba seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik.

"Strok haba tidak wajar dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan komplikasi serius dan kesan jangka pendek akibat dari pendedahan mengejut kepada cuaca yang panas boleh mengakibatkan sel badan cedera, berlaku keradangan, darah senang membeku dan berlaku pendarahan di beberapa organ penting.

"Selain itu, mangsa strok haba juga boleh mengalami kesan jangka panjang seperti masalah saraf, sistem kardiovaskular dan risiko kematian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Nik Rosmawati berkata, antara tanda seseorang itu mengalami strok haba ialah denyutan jantung menjadi cepat dan pesakit akan merasa berdebar (denyutan jantung normal: 60-100/minit), pernafasan laju dan pendek (kadar pernafasan normal: 12-20/minit), badan terasa panas dan kering, sakit kepala, pening, kepala rasa berpusing dan berasa mual.

"Selain itu, peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40 darjah celsius, tekanan darah menurun serta tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan.

"Justeru masyarakat perlu mengetahui tanda dan gejala strok haba supaya tindakan segera dapat diambil," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengelak berlakunya strok haba masyarakat perlu mengetahui beberapa langkah pencegahan penting.

Antaranya tidak melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan panas untuk tempoh yang panjang, elak melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan.

"Pada masa sama, pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong di antara tiga hingga empat liter sehari, mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.

"Selain itu, perlu memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung, tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik serta memastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda awal penyakit berkaitan haba.

"Sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada METMalaysia dan amaran kesihatan berkaitan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Kurangkan atau elak daripada melakukan sebarang aktiviti luar mahupun bersenam ketika cuaca panas terik," katanya.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan bahawa gelombang panas serta kering yang kini sedang melanda negara akibat peralihan monsun dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Ogos 2023 selain turut melanda negara-negara Asia lain termasuk Thailand, Vietnam, China, India dan Bangladesh.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2023, fenomena gelombang haba berterusan di Eropah pada pertengahan tahun 2022 menyebabkan lebih 20,000 kematian akibat strok haba.

  • Created on .
  • Hits: 342

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024