USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: HEP PACU AGENDA MEMPERKASAKAN MAHASISWA

Berita Harian
HEP pacu agenda memperkasakan mahasiswa
Oleh Prof Dr Azlinda Azman | 1 Mei 2023

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pemerkasaan mahasiswa sangat berkait rapat dengan pembangunan golongan itu secara holistik, sekali gus menjadi konsep penting dan mandat besar kepada setiap universiti untuk direalisasikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Fokusnya merangkumi 'menghakupayakan' mahasiswa dalam pengurusan persatuan dan penganjuran aktiviti yang membolehkan mereka mengasah idea serta kreativiti.

Begitu juga pemerkasaan pengurusan kewangan oleh mahasiswa melalui peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kepada persatuan lain juga menjadi satu lagi kuasa autonomi untuk membolehkan mahasiswa mengimbang tara program sesuai dilaksanakan di universiti masing-masing.

Selain itu, peranan mahasiswa dalam pemilihan wakil MPP perlu diperkasakan lagi yang ketika ini dilaksanakan di hampir semua universiti awam (UA).

Kebebasan berpolitik pula memberikan lebih peluang kepada mahasiswa melaksanakan peranan warganegara cakna dan menyumbang kepada penghasilan pemimpin negara berwibawa.

Keempat-empat elemen pemerkasaan mahasiswa itu sebenarnya membolehkan mahasiswa terus berperanan aktif dalam menentukan arah tuju pembangunan di universiti.

Ini bermakna desakan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sudah tidak relevan memandangkan kebebasan diberikan kepada mahasiswa di universiti tempatan.

Malah, pindaan seksyen tertentu dalam AUKU juga sedang diberi perhatian untuk memastikan permerkasaan mahasiswa bersifat lebih menyeluruh.

Realitinya, pemerkasaan mahasiswa bergantung sepenuhnya kepada kesediaan golongan itu untuk memikul beban berpersatuan seiring tanggungjawab sebagai pelajar.

Oleh itu, pengurusan masa sebagai pelajar dan pemimpin perlu ditangani dengan memastikan keseimbangan kedua-dua elemen dapat dicapai sebagai asas kepada kerjaya selepas bergraduasi.

Begitu juga keupayaan mengelolakan pembahagian sumber supaya pengurusan dana kewangan kepada semua persatuan pelajar dapat dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Mahasiswa juga perlu cakna terhadap situasi berlaku di sekeliling mereka, termasuk melaksanakan peranan semak dan imbang dalam mengutarakan pandangan atau terutama yang boleh memperkukuhkan lagi perkhidmatan di universiti.

HEP tak kongkong pelajar

Namun, timbul persepsi HEP dikatakan mengongkong mahasiswa daripada terus mendapat kebebasan sewajarnya, tetapi peranan itu sering disalahertikan kerana ia sebenarnya bertanggungjawab membimbing, memudah cara dan menyokong pelajar mencapai tahap pemerkasaan.

Sokongan HEP sangat diperlukan, terutama membantu pelajar memahami pelbagai proses dan tata kelola berkaitan seperti tatacara kewangan agar akauntabiliti dan integriti sentiasa dapat dipegang selari prosedur perbendaharaan.

Semua ini bertujuan memelihara mahasiswa daripada sebarang implikasi negatif hingga boleh menjejaskan masa depan apabila bergraduasi.

HEP sentiasa bertindak sebagai ejen pengubah untuk membolehkan potensi mahasiswa digembleng dan diperkasa seperti menyokong mereka merancang dan melaksanakan program berimpak tinggi sesuai situasi semasa dan komuniti setempat serta selari aspirasi atau matlamat universiti.

Ia antara indikator utama mengukur sejauh mana mahasiswa mampu berdikari dan bergerak sendiri dengan penyeliaan atau sokongan paling minimum. Sokongan berterusan sentiasa ditawarkan HEP juga bagi memastikan golongan itu tetap berpegang kepada adab dan acuan ke arah menyumbang pembangunan bangsa dan negara.

Hakikatnya, kebersamaan antara pemimpin mahasiswa dan HEP dapat memacu agenda pemerkasaan ke tahap maksimum dengan semangat positif, tindakan proaktif, pantas dan berkesan.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM)

  • Created on .
  • Hits: 317

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024