USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: DI MANA JAHATNYA AUKU?

MALAYSIA GAZETTE
Di mana jahatnya AUKU?
OLEH Manzaidi Mohd Amin | 7 April 2023

AKTA Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) keseluruhannya mempunyai 44 seksyen daripada asalnya hanya 27 seksyen sahaja.

Pertambahan kepada 44 seksyen itu disebabkan banyak berlaku tambahan seksyen sepanjang tujuh kali AUKU dipinda.

Daripada 44 seksyen itu pula, hanya dua seksyen yang popular atau dekat dengan mahasiswa, iaitu Seksyen 15 dan Seksyen 16.

Dalam Seksyen 15 pula terdapat lima lagi seksyen iaitu Seksyen 15A, Seksyen 15B, Seksyen 15C dan Seksyen 15D.

Sama juga dengan Seksyen 16, turut mempunyai Seksyen 16A, Seksyen 16B, Seksyen 16C dan Seksyen 16D.

Keseluruhannya untuk dua seksyen ini terkandung 10 seksyen asal dan 10 seksyen ini pula telah mengalami tujuh kali perubahan, menyebabkan Seksyen 15 ini tinggal tujuh sahaja yang beroperasi, manakala tiga seksyen lagi telah dipotong dalam ertikata Akta AUKU.

Apakah kandungan AUKU yang menjadi bahan perbincangan seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ada sesi Town Hall AUKU bersama Menteri di Putrajaya semalam?

Penasihat Undang-Undang Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Khairul Anuar Che Azmi dalam menyampaikan pengenalan akta itu kepada hadirin menjelaskan, AUKU telah diwartakan pada 3 April 1971.


Dr. Khairul Anuar

Maka, pada 30 April ini, AUKU telahpun berumur 52 tahun.

Katanya, sepanjang tempoh beroperasi, AUKU telah mengalami tujuh perubahan atau pindaan berdasarkan kehendak semasa, suara mahasiswa dan pendapat pemegang taruh.

Pemegang-pemegang taruh ini ialah kerajaan, pengurusan kementerian (KPT), pengurusan universiti, tenaga akademik dan bukan akademik serta pelajar atau mahasiswa.

Antara perubahan yang dekat dengan mahasiswa bermula pada tahun 2008, yang mana tiga perubahan atau pindaan terakhir berlaku iaitu 2008, 2012 dan 2019.

Sebelum itu, empat pindaan telah berlaku iaitu pindaan kali pertama berlaku pada 1971, selepas itu pindaan tahun 1975 yang menyaksikan banyak berlaku perubahan serta seterusnya tahun 1983 dan 1996.

Daripada pindaan itu, tahun 2009 adalah pindaan yang cukup substansial kepada pelajar terutama pada tahun 2012 dan 2019.

“Kenapa pindaan 2012 dan 2019 yang saya akan sentuh lebih banyak? Sebab ianya melibatkan perkara, aktiviti atau politik pelajar di dalam dan luar kampus.

“Kita lihat dulu secara keseluruhan 27 seksyen ini iaitu Seksyen 1 hingga Sesyen 14 berkenaan dengan perkara umum.

“Daripada 44 seksyen ini, 32 ialah seksyen yang berkaitan dengan kementerian, kuasa menteri dan juga lain-lain hal. Ia langsung tidak melibatkan dengan mahasiswa,” katanya.

Malah, daripada 44 seksyen ini juga empat seksyen yang berkenaan dengan kolej universiti dianggap tidak lagi releven.

Daripada 44 seksyen ini pula empat seksyen permulaan yang melibatkan tafsiran, kuasa peralihan dan sebagainya, hanya tujuh seksyen melibatkan mahasiswa dan satu seksyen melibatkan kakitangan awam.

Di sini, kakitangan universiti tertanya-tanya di mana mereka sebab dalam AUKU tidak terkandung hak mereka.

Jawapannya, sebab AUKU tidak relevan kepada mereka atau ahli akademik universiti kerana hak mereka berada dalam satu akta lain yang dipanggil Akta Badan Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 atau Akta 605.

Jadi, daripada Seksyen 1 hingga Seksyen 14, ianya melibatkan perkara tafsiran dan juga kuasa kementerian, kuasa menteri, tanggungjawab menteri dan bagaimana perintah penubuhan universiti atau perintah perbadanan.

Dalam Seksyen 11 pula berkenaan dengan dana dan akaun kepada universiti, yang bermakna kerajaan ada kewajiban untuk memberi dana atau wang kepada universiti awam yang ditubuhkan.

Antara seksyen yang tidak digunakan lagi, tetapi rasional dimasukkan ialah Seksyen 14, iaitu berkenaan dengan duti setem harta pusaka.

Dari mana pula datangnya duti setem harta pusaka ini dalam AUKU?

“Apabila dirisik, rupanya pada tahun 1971, untuk penubuhan AUKU, difahamkan ramai rakyat hendak memberikan tanah untuk menubuhkan universiti.

“Apabila rakyat hendak beri tanah, mereka minta satu saja, iaitu jangan kenakan duti setem kepada mereka. Kalau boleh percumakan atau kecualikan duti setem untuk mereka.

“Maka termaktublah dalam Seksyen 14 duti setem kepada sesiapa yang memberikan harta pusaka kepada universiti.

Mereka tidak perlu membayarnya, tetapi sampai sekarang seksyen ini tidak guna. Harap dapat digunakan satu hari nanti,” katanya.

Seterusnya Seksyen 15 dan Seksyen 16. Inilah yang Menteri maksudkan antara seksyen yang memerlukan dialog awam atau town hall hari ini.

Pelbagai temu ramah dibuat dan antara yang mahasiswa katakan AUKU ini jahat.

Bila ditanya di mana jahatnya AUKU ini? Mereka kata semua jahatnya.

“Apabila disusun satu persatu, kita mencari mana yang jahatnya, akhirnya kita jumpa dua seksyen ini sahajalah yang dimaksudkan mereka, iaitu Seksyen 15 dan Seksyen 16.

Bagaimanakah Seksyen 15 dan Seksyen 16 ini? Setelah dua seksyen ini dipinda, ia menjadi 10 seksyen dan daripada 10 seksyen ini, tiga daripadanya telah dipotong tinggal tujuh.

Jadi, yang tinggal ialah Seksyen 15, Seksyen 15A, Seksyen 15B dan Seksyen 15D, manakala Seksyen 16 pula tinggal Seksyen 16B dan Seksyen 16C.

Parlimen yang memotong tiga daripada 10 seksyen berkenaan iaitu Seksyen 15C, 16A dan 16D.

Seksyen 15 ini menyatakan berkenaan dengan aktiviti pelajar iaitu berpersatuan, mempunyai badan dan persatuan sama ada dalam atau di luar kampus.

Seksyen 15 ini yang menjadi tajuk perbincangan, apabila pada 15 Mac 2019 telahpun ditiadakan satu seksyen yang kontroversi iaitu Seksyen 15 (2C), pelajar tidak dibenarkan berpolitik dalam kampus.

Tahun 2019, operatifnya ialah 15 Mac 2019, pelajar boleh berpolitik di mana-mana sahaja, dalam dan luar kampus.

Itulah implikasi berkenaan dengan politik pelajar melalui Seksyen 15 (2C) yang dipotong atau dipadam dari AUKU.

Apakah pula kandungan Seksyen 15 (2A) dan (2B)? Seksyen 15 (2A) pelajar tidak boleh terlibat dalam mana-mana organisasi yang dilarang oleh kerajaan.

Terdapat sekurang-kurangnya 38 kongsi gelap dan badan yang tidak diiktiraf, yang telahpun disenaraikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tidak dibenarkan oleh semua rakyat, bukan saja mahasiswa terlibat.

Inilah yang dimaksudkan dengan Seksyen 15 (2A).

Seksyen 15 (2B) pula larangan terhadap mana-mana pertubuhan atau persatuan yang pada anggapan lembaga masing-masing tidak memberikan manfaat kepada pelajar.

Seksyen 15 (2C) telahpun dipotong, bermaksud pelajar boleh aktif dalam politik.

Sehingga hari ini, kementerian tidak atau belum pun mewartakan sebarang garis panduan berkenaan pelajar berpolitik.

Maknanya, ia masih kosong, tetapi hendaklah mengikut tatacara universiti masing-masing.

Menurut Dr. Khairul Anuar, tidak ada satu garis panduan berkenaan apa yang boleh dan tidak boleh.

“Sudah tentu, kita ada memikirkan perkara tersebut, tapi sampai sekarang belum diwartakan ataupun belum berkuatkuasa berkenaan panduan pelajar berpolitik di dalam kampus.

“Ini kerana, pada amnya sebagai tuan punya premis universiti, Naib-naib Canselor mempunyai kuasa untuk memberikan kebenaran kepada penggunaan sesuatu premis di dalam universiti kepada mana-mana pihak.

“Ini samalah seperti seorang bapa atau ibu mempunyai hak terhadap rumah atau premis masing-masing,” ujar beliau. – MalaysaGazette

  • Created on .
  • Hits: 298

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024