USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: KPT BUKAN 'POLIS UNIVERSITI'

MY METRO
KPT bukan 'polis universiti'
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof | 3 April 2023

Georgetown: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sekali lagi menyatakan pendirian tidak berminat melakukan 'kepolisan pendidikan' atau mengawal universiti misalnya dalam menetapkan garis panduan berhubung kebenaran kemasukan ahli politik di kampus masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kebenaran tersebut termasuk membabitkan parti politik pembangkang terpulang kepada budi bicara Naib Canselor selaku 'tuan rumah' dan ia tertakluk di bawah kuasa autonomi pihak universiti.

"Kita nak masuk rumah orang minta izin, saya tidak pernah kawal universiti. Parti politik boleh masuk dengan kebenaran Naib Canselor mungkin dia nak masuk hari ada majlis di universiti atau ada menteri dia pun nak datang.

"Tanya Naib Canselor universiti masing-masing. Saya sudah beritahu dan tekankan Kementerian tidak berminat melakukan 'educational policing'... kita kena faham perkara ini saya bukan polis mahu menjaga universiti," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Mohamed Khaled turut mengulangi parti politik tidak boleh menubuhkan cawangan di universiti bagi menumpukan usaha membangunkan kesarjanaan universiti.

"Baru-baru ini apabila satu perbahasan daripada wakil-wakil rakyat yang menyatakan ini (parti politik buka cawangan dalam kampus) sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

"Maka saya kata kalau begitu saya boleh mendapat konsensus semua bersetuju jangan ada parti politik dalam kampus. Jadi jangan timbulkan lagi," katanya.

Beliau berkata, dalam hal ini, KPT bukan sahaja berhasrat melahirkan graduan yang memiliki ilmu pengetahuan malah mempunyai matlamat membangunkan kekuatan pemikiran mereka.

"Kita tidak mahu daripada awal dia menjadi taksub kepada satu pemikiran kerana kita nak bangunkan kesarjanaan universiti.

Mohamed Khaled mengadakan sidang media selepas lawatan kerja ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melihat lebih dekat perkembangan terkini di Bangunan M11, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Mohamed Khaled mengadakan sidang media selepas lawatan kerja ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melihat lebih dekat perkembangan terkini di Bangunan M11, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG

"Kalau katakanlah dekat luar sudah toksik... kita bergantung kepada universiti supaya betulkan keadaan di luar," katanya.

Terdahulu Mohamed menyatakan sokongan terhadap usaha USM menganjurkan Wacana Madani dan menggalakkan program seumpama itu diadakan bagi menjayakan agenda nasional dan ia adalah satu daripada peranan institusi pendidikan dalam negara.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan USM untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji agenda Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang memasuki usia 15 tahun sejak menerima pengiktirafan tersebut pada 2008.

  • Created on .
  • Hits: 260

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024