USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: KPT TIDAK KAWAL AKTIVITI UNIVERSITI

SINAR HARIAN
KPT tidak kawal aktiviti universiti
oleh SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | 3 April 2023

Mohamed Khaled (tiga dari kanan) mengadakan lawatan kerja di USM pada Isnin.
Mohamed Khaled (tiga dari kanan) mengadakan lawatan kerja di USM pada Isnin

GEORGETOWN - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan mengawal aktiviti universiti termasuk membenarkan aktiviti politik di dalam kampus.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian tidak berniat untuk menjadi 'educational policing' yang akan mengawal setiap perkara dan aktiviti yang dijalankan sesebuah universiti di negara ini.

Bagaimanapun katanya, penubuhan cawangan politik di dalam universiti tidak dibenarkan sama sekali.

"Saya dah tekankan KPT tidak berminat untuk lakukan 'educational policing'. Kita kena faham, kementerian bukan nak kawal aktiviti universiti termasuk membenarkan aktiviti politik di dalam universiti.

"Saya bukan polis nak jaga universiti. Bagaimanapun, penubuhan cawangan politik di dalam universiti tidak dibenarkan," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Isnin.

Beliau berkata, semua parti politik boleh masuk ke universiti namun perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh sesebuah universiti tersebut.

"Parti politik boleh masuk (universiti) tetapi dengan kebenaran universiti. Cuma jangan ada cawangan sahaja. Mungkin dia nak masuk ketika ada majlis di universiti atau menteri datang, dia pun nak hadir."

"Itu boleh. Nak buat program pun boleh tetapi perlu kebenaran. Nak masuk rumah orang, kena minta kebenaran tuan rumah lah. Garis panduan yang ditetapkan universiti pun kena patuhi," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kementerian membenarkan aktiviti politik di universiti adalah kerana ingin melahirkan graduan yang mempunyai kekuatan pemikiran.

"Masuk boleh tetapi jangan tubuh cawangan parti politik kerana kementerian bukan sahaja mahu graduan keluar dari universiti dengan ilmu tetapi kita nak bangunkan kekuatan pemikiran seseorang pelajar itu.

"Kita tidak mahu daripada awal, pelajar menjadi taksub kepada satu-satu pemikiran sahaja. Kita mahu bangunkan kesarjanaan universiti.

"Kata kan lah di luar dah ada toksik, kita bergantung kepada universiti untuk perbetulkan keadaan di luar," katanya.

KPT sebelum ini tidak menghalang mana-mana pihak termasuk ahli politik daripada menganjurkan program di universiti awam.

Mohamed Khaled bagaimanapun menegaskan perkara tersebut tertakluk kepada pengurusan universiti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihalang menghadiri sesi dialog #JelajahMansuhAUKU di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menggesa USM mengkaji semula agenda Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEC) untuk terus menjadi universiti perintis dalam mencapai kecemerlangan.

USM ialah universiti APEC yang pertama di negara ini yang mana, tahun ini merupakan tahun ke-15 USM sebagai universiti APEC.

  • Created on .
  • Hits: 286

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024