BERITA DALAM TALIAN: PUNGGUK JELAPANG EJEN BERKESAN KAWAL TIKUS DI LADANG KELAPA SAWIT
MALAYSIA GAZETTE
Pungguk jelapang ejen berkesan kawal tikus di ladang kelapa sawit
By Malinda Abdul Malik | 15 March 2023
Pungguk jelapang dikatakan mampu membantu pekebun kecil mengawal dan mengurangkan populasi tikus perosak dengan berkesan.
GEORGE TOWN – Burung pungguk jelapang terbukti sebagai agen berkesan dalam kawalan biologi terhadap tikus perosak di ladang kelapa sawit negara ini.
Ia juga dikatakan mampu menjadi kaedah hijau dalam mengurangkan penggunaan racun perosak bagi mengurus haiwan perosak di ladang.
Menyedari keunikan dalam ekosistem itu, Barn Owl and Rodent Research Group (BORG) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) melancarkan Barn Owl for Oil Palm Smallholders Initiatives (BOSI).
Hasber menerangkan perihal sarang pungguk jelapang kepada para peserta.
Penyelaras BORG yang juga pensyarah daripada Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) USM, Prof Madya Dr Hasber Salim berkata, projek khas berkenaan membabitkan penyerahan dan pemasangan sebanyak 20 kotak sarang burung pungguk jelapang kepada pekebun kecil di Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu, Kedah.
Katanya, program BOSI ini mampu membantu pekebun kecil mengawal dan mengurangkan populasi tikus perosak dengan berkesan.
“Kotak yang dibekalkan juga direka bentuk bagi menarik burung pungguk jelapang sebagai tapak sarang selamat dan sesuai untuk pembiakan malah pekebun juga ditunjukkan dengan demonstrasi pemasangan yang betul.
“Ia merangkumi penggunaan teknik pemetaan GPS bagi memastikan kotak sarang burung diagih secara sama rata pada ketumpatan satu kotak untuk setiap lima hektar di kawasan itu.
“BORG juga teruja dapat bekerjasama dengan MPOGCF yang disifatkan bukan sekadar berkongsi objektif sama dalam memulihara biodiversiti, tetapi turut membiayai dan memberi sokongan penuh bagi memastikan projek itu berjalan lancar dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Berdasarkan kajian penyelidik, tikus boleh merangkumi sehingga 99 peratus diet burung pungguk jelapang dan sepasang burung itu dan anak-anaknya boleh memakan kira-kira 1,300 tikus setahun.
Sementara itu, Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya komited dalam menyokong usaha pemuliharaan dan kelestarian khususnya berkaitan dengan industri kelapa sawit.
“Kita yakin dengan pelaksanaan BOSI, ia dapat meningkatkan kesedaran pekebun kecil mengenai keberkesanan menggunakan pungguk jelapang sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah haiwan perosak itu,” katanya. – MalaysiaGazette
- Created on .
- Hits: 327