BERITA DALAM TALIAN: PENGAKAP MALAYSIA METERAI MOU DENGAN USM BAGI TINGKATKAN PRESTASI PENGURUSAN
BERNAMA
Pengakap Malaysia meterai MoU dengan USM bagi tingkatkan prestasi pengurusan
6 Mac 2023
GEORGE TOWN, 6 Mac (Bernama) - Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi meningkatkan prestasi pengurusan dan pentadbiran pergerakan pengakap di negara ini.
Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin, berkata usaha untuk mendokumentasikan setiap program secara lebih ilmiah tidak dapat dilaksanakan kerana PPM tidak memiliki kepakaran dalam bidang itu.
Justeru, PPM membuat pilihan untuk berkolaborasi dengan USM yang juga merupakan antara universiti penyelidikan terunggul di negara kita.
"Semoga kekuatan dan kelebihan yang USM miliki terutamanya dalam menerajui bidang polisi, penyelidikan dan penerbitan, mampu membantu PPM dalam membangunkan modal insan pengakap di Malaysia ke peringkat global, "katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU, di sini, hari ini.
Dr Mohd Zin berkata terdapat seramai 600,000 ahli pengakap di seluruh negara ini.
Sementara itu, naib canselor USM, Prof Datuk Abdul Rahman Mohamed, berkata USM bersedia untuk membantu PPM dalam apa jua bidang kepakaran yang diperlukan.
"Sehubung itu, saya mengharapkan agar perkongsian pintar melalui Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) USM akan membuahkan hasil yang positif "katanya.
- BERNAMA
- Created on .
- Hits: 396