USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: USM AGIH ZAKAT KEPADA 1,365 PELAJAR ASNAF

Sinar Harian

USM agih zakat kepada 1,365 pelajar asnaf

oleh MOHD ISKANDAR OTHMAN | 26 Februari 2023

Awang Adek melancarkan Skim Asnaf Qurratu <a href=
Awang Adek melancarkan Skim Asnaf Qurratu Ain@Pusat Islam yang bertujuan memberi fokus kepada bantuan awal pendidikan kepada anak-anak staf dan anak qaryah Masjid al-Malik Khalid USM.

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM3,042,966.41 melalui kutipan individu dan sumbangan korporat serta pihak luar yang berhajat pada 2022.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, 50 peratus daripada hasil kutipan berkenaan yang berjumlah RM1,521,483.20 telah dipulangkan semula oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada USM.

Menurutnya, daripada jumlah itu USM telah mengagihkan semula sejumlah RM1,505,700 kepada 1,365 pelajar asnaf USM meliputi empat golongan asnaf pelajar yang dibenarkan termasuk fakir, miskin, fisabilillah dan mualaf.

“Kejayaan ini telah memberi manfaat yang besar kepada pihak yang memerlukan dan Pusat Islam USM boleh melihat kaedah terbaik yang boleh diperkasakan bagi meneruskan kejayaan ini di masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Pendidikan dan Pelancaran Skim Asnaf Qurratu Ain@Pusat Islam USM pada Sabtu.

Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah; Pengarah Pusat Islam USM, Mohammad Shukri Osman.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata, Pusat Islam USM diharapkan dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama pintar bersama ZPP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam mencari medium terbaik sebagai rakan strategik untuk maju ke hadapan.

Selain berkongsikan kejayaan berkaitan kutipan zakat, Awang Adek turut melancarkan Skim Asnaf Qurratu Ain@Pusat Islam yang bertujuan memberi fokus kepada bantuan awal pendidikan kepada anak-anak staf dan anak qaryah Masjid al-Malik Khalid USM.

Jelasnya, melalui skim yang dikelolakan di bawah Sektor Pendidikan dan Kesejahteraan Keluarga serta Sektor Zakat Pusat Islam itu, anak-anak staf dan qaryah masjid akan diterapkan dengan pendidikan awal berkaitan hal-ehwal Islam melalui dana daripada Zakat@Pusat Islam USM.

Turut dilancarkan dalam majlis yang sama adalah Buku Rekod Pemerhatian Hadanah yang dibangunkan oleh Pusat Islam USM yang boleh dijadikan panduan dan rujukan oleh pihak lain dalam urusan hadanah, tadika dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA).

  • Created on .
  • Hits: 275

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024