BERITA DALAM TALIAN: LEBIH 2,000 KANAK-KANAK DI KELANTAN ADA MASALAH PERTUTURAN
Utusan Malaysia
Lebih 2,000 kanak-kanak di Kelantan ada masalah pertuturan
Oleh ROSLIZA MOHAMED | 1 Februari 2023
DR. SHAHARUM Shamsuddin (tiga dari kanan) semasa memetrai MoU antara USM dengan Al-Kauthar Eduqids Sdn. Bhd. di Dewan Persidangan Kampus USM, Kubang Kerian, Kelantan, hari ini. -FOTO/ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kampus Kubang Kerian mengesan seramai 1,900 hingga 2,300 kanak-kanak di Kelantan yang mempunyai masalah kelewatan bertutur dalam tempoh lima tahun kebelangan ini.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, daripada jumlah itu, lebih 70 peratus kes yang hadir ke HUSM untuk mendapatkan rawatan berdepan dengan masalah pertuturan dan bahasa.
“Kes ini melibatkan kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun. Selain kelewatan bertutur, ada dalam kalangan kanak-kanak itu berdepan dengan masalah lain seperti penerimaan makanan, sengau dan juga pembelajaran.
“Masalah ini mungkin semasa lahir lagi, namun hanya dapat kesan seawal usia dua tahun,” katanya kepada pemberita pada majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Al-Kauthar Eduqids Sdn. Bhd di Dewan Persidangan Kampus USM, Kubang Kerian,di sini hari ini.
Dr. Shaharum memberitahu, pada masa sama situasi itu dapat dilihat dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan lain seperti pendengaran, autisme atau sindrom down.
Katanya, kanak-kanak tersebut terpaksa bergantung kepada kebolehan diri masing-masing bagi merawat masalah ini.
“Untuk makluman, ada dalam kalangan kanak-kanak ini mendapatkan rawatan sedang bersekolah. Hasil rawatan dan kepakaran yang diberikan pihak kita (HUSM), kanak-kanak tersebut mempunyai perkembangan boleh bertutur dengan baik walaupun mengambil masa agak lama sedikit.
“Selain itu, kita mempunyai modul tertentu untuk memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak tersebut bagi membantu mereka,” ujarnya. – UTUSAN
- Created on .
- Hits: 552