BERITA DALAM TALIAN : TENGKU PERMAISURI NORASHIKIN RASMI PAMERAN KUCING JALANAN USM
Tengku Permaisuri Norashikin rasmi pameran kucing jalanan
14/01/2023 | 04:12PM
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melihat kucing jalanan pada majlis perasmian Kucing Jalanan 'Oyen: Cerita Tentang B.E.L.A.S' di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
GEORGE TOWN, 14 Jan (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Pameran Kucing Jalanan 2023 Universiti Sains Malaysia (USM), di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF).
Tuanku dalam ucapan perasmiannya bertitah pameran bertemakan Pameran Oyen: Cerita Tentang B.E.L.A.S itu adalah usaha diperkenalkan bagi
menggambarkan realiti kehidupan kucing jalanan yang kurang mendapat perhatian masyarakat kebelakangan ini.
"Bertemakan B.E.L.A.S iaitu Believe, Empathy, Love, Affection dan Salvation, ini merupakan tunjang kepada pembinaan perwatakan insan yang bukan sahaja
berjaya dalam akademik malah dapat membina jati diri mereka termasuk kepada haiwan terutama kucing jalanan.
"Saya menyokong usaha ini yang ditubuhkan oleh USM untuk jalankan usaha-usaha murni itu, inisiatif dalam membela nasib kucing jalanan dan ia
diterjemahkan dalam pameran adalah satu usaha pencapaian murni dalam melahirkan ganerasi holistik yang empati terhadap haiwan," titah baginda.
Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Penaung Diraja kepada kempen Stray Free Selangor (SFS) kendalian Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) bertitah pihak industri, agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bersama-sama membantu sama ada dari segi bantuan
dana secara langsung atau tidak langsung kepada usaha USM itu.
Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan meluangkan masa melawat pameran dan bermain dengan kucing-kucing di situ.
Pameran kisah hidup Oyen dan kawan-kawan anjuran Sekretariat B.E.L.A.S itu dibuka kepada orang ramai bermula 16 Jan hingga 7 April.
Terdahulu, Naib Canselor USM Prof Datuk Ir Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya berkata pameran itu juga antara lain untuk mengetengahkan nilai
belas dan kasih sayang terhadap kucing jalanan serta dalam masa sama untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada warga USM serta orang ramai
tentang pentingnya hubungan manusia dan alam.
Katanya, fokus Sekretariat B.E.L.A.S itu juga adalah untuk menjadikan kampus USM sifar kucing jalanan dengan kucing-kucing jalanan tersebut dapat dibela
dan diberi rumah baharu yang penuh dengan kasih sayang.
"Kucing yang diselamatkan divaksinasi dan dimandulkan demi kebaikan mereka, kami juga mendapat bantuan daripada NGO. Setakat ini, sebanyak 160 ekor
kucing telah diselamatkan dan 77 ekor mendapat kediaman baharu, tujuh ekor di bawah jagaan kami, empat ekor telah menjadi kucing terapi USM, 45 lagi
dimandulkan manakala 14 ekor telah mati digigit anjing liar," katanya.
Beliau berkata Sekretariat B.E.L.A.S juga mempunyai impian dan harapan besar untuk membina sebuah tempat transit perlindungan kucing jalanan di kampus USM kerana tidak dinafikan sejak kebelakangan ini kes kesihatan mental telah menaik dan kucing-kucing yang bersesuaian akan dijadikan kucing terapi untuk
pelajar di universiti itu.
-- BERNAMA
- Created on .
- Hits: 397