BERITA DALAM TALIAN : USM BANTU TAMBAH BAIK PUSAT SUMBER SEKOLAH, PERPUSTAKAAN KOMUNITI
Kosmo
USM bantu tambah baik pusat sumber sekolah, perpustakaan komuniti
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA | 10 Januari 2023 | 8:23 pm
LEBIH 10 pusat sumber sekolah dan dua perpustakaan komuniti berjaya ditambah baik hasil kepakaran yang disumbangkan kakitangan Perpustakaan USM sejak 2010.
GEORGE TOWN – Lebih 10 buah pusat sumber sekolah dan dua perpustakaan komuniti berjaya ditambah baik menerusi hasil kepakaran yang disumbangkan kakitangan Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) sejak tiga tahun lalu.
Pemangku Ketua Pustakawan USM, Mohd. Nasir Md. Rashid berkata, antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah mentransformasi ruang dalaman dan luaran kawasan, membuat proses katalog serta pengelasan dan penyusunan semula bahan bacaan.
Menurutnya, sumbangan lain adalah dari segi pembangunan dan instalasi sistem yang diubah suai mengikut keperluan selain latihan berkaitan amalan terbaik pengurusan pusat sumber atau perpustakaan kepada guru dan pengawas pusat sumber.
“Kita berharap inisiatif berterusan ini akan memberikan impak positif kepada pelajar atau komuniti terkebawah dengan membolehkan mereka menikmati pusat sumber atau perpustakaan komuniti yang kondusif dan selesa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau memberitahu, kemudahan pusat sumber dan perpustakaan yang baik akan meningkatkan penggunaannya serta membantu memupuk amalan dan minat membaca yang sejati dalam kalangan masyarakat.
Ketika ini katanya, Perpustakaan USM turut menyumbangkan bahan bacaan bagi membantu memperkayakan koleksi pusat sumber atau perpustakaan komuniti terbabit.
“Kita mengalu-alukan sumbangan bahan bacaan daripada orang ramai terutamanya yang bersesuaian bagi pelajar sekolah rendah dan menengah dalam pelbagai genre.
Bahan bacaan yang terkumpul ini akan diserahkan kepada sekolah atau perpustakaan komuniti yang memerlukan dari semasa ke semasa,” ujar beliau.
Tambahnya, Perpustakaan USM akan terus komited dalam memainkan peranan memperkasa kesejahteraan sosial masyarakat terutamanya dalam kalangan ‘bottom billions’ atau mereka yang kurang bernasib baik melalui sumbangan kepakaran seperti menambah baik pusat sumber sekolah dan perpustakaan komuniti itu. – KOSMO! ONLINE
- Created on .
- Hits: 360