USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: ABDUL RAHMAN NAIB CANSELOR USM YANG BARU

Malaysia Gazetta

Abdul Rahman Naib Canselor USM yang baharu

Oleh Malinda Abdul Malik | 3 January 2023

78D98D9D-4265-4281-878B-339C86413B50-681x424
Abdul Rahman.

GEORGE TOWN – Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed diumumkan sebagai Naib Canselor kesembilan Universiti Sains Malaysia (USM) berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau baik dari aspek kepimpinan mahupun penyelidikan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Sebagai satu-satunya universiti awam di Malaysia yang telah dipilih untuk Accelerated Programme for Excellence (APEX), KPT yakin dengan Abdul Rahman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Rahman sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM dari 1 Mei 2016 hingga 30 April 2018.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM dari 1 Mei 2018 sehingga kini.

Selain memiliki pengalaman pentadbiran yang sangat luas, Abdul Rahman juga ialah seorang penyelidik yang disegani terutamanya dalam bidang Sains Gunaan dan Teknologi di dalam mahupun luar negara.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin mengalu-alukan pelantikan Abdul Rahman sebagai Naib Canselor USM yang baharu.

Beliau menyeru semua warga USM untuk memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada Naib Canselor yang baharu memandangkan usaha memastikan kecemerlangan USM adalah tanggungjawab bersama. – MalaysiaGazette

  • Created on .
  • Hits: 326

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024