BERITA DALAM TALIAN: ABDUL RAHMAN MOHAMED DILANTIK NAIB CANSELOR USM
Berita Harian
Abdul Rahman Mohamed dilantik Naib Canselor USM
Zuhainy Zulkiffli | Selasa, 3 Januari 2023 | 7:35pm
Prof Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed yang dilantik sebagai Naib Canselor USM baharu.
GEORGETOWN: Prof Datuk Ir Abdul Rahman Mohamed diumum sebagai Naib Canselor kesembilan Universiti Sains Malaysia (USM), berkuat kuasa hari ini.
Abdul Rahman pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM dari 1 Mei 2016 hingga 30 April 2018 sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM dari 1 Mei 2018 sehingga kini.
Selain memiliki pengalaman pentadbiran yang sangat luas, beliau juga adalah penyelidik disegani terutama dalam bidang Sains Gunaan dan Teknologi di dalam dan luar negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melahirkan keyakinan terhadap kemampuan Abdul Rahman menerajui USM yang juga satu-satunya universiti awam di Malaysia yang dipilih bagi Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).
"Pelantikan itu dibuat berdasarkan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau, baik daripada aspek kepimpinan mahupun penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dalam satu majlis khas mengalu-alukan pelantikan Abdul Rahman Mohamed sebagai Naib Canselor USM yang baharu.
Beliau meminta warga USM memberi sokongan dan kerjasama terbaik kepada Abdul Rahman dalam usaha memastikan kecemerlangan USM adalah tanggungjawab bersama.
Awang Adek turut merakamkan penghargaan kepada Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan atas khidmat bakti dan pimpinan sepanjang menjadi Naib Canselor USM mulai 4 Oktober 2019 hingga 3 Oktober 2022.
Abdul Rahman dalam sidang media di sini berkata, USM perlu meneruskan agenda APEX yang diberi KPT pada 2008, dengan menumpukan kepada membantu komuniti melalui pelbagai usaha yang dibuat termasuk penyelidikan dan inovasi.
"USM akan melihat inisiatif yang dilakukan bagi membantu pembangunan negara dan melakukan perubahan sosioekonomi komuniti di samping agenda sedia ada.
"Tumpuan juga akan diberi kepada usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan sehingga mencapai peratusan penuh melalui pendedahan pelajar kepada industri dan memenuhi keperluan bakal majikan masa hadapan.
"Hal ini termasuklah menyediakan peluang latihan dan latihan industri setahun, terutama dalam kalangan pelajar kejuruteraan atau mengadakan projek panjang dengan industri bagi mendapat impak tinggi," katanya.
- Created on .
- Hits: 368