USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA ONLINE: GRADUAN AUTISME CEMERLANG IDAM JADI GURU

https://origin.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1033430/graduan-autisme-cemerlang-idam-jadi-guru

Ooi Ivan, 24, menerima Anugerah Pingat Emas USM (Anugerah bagi graduan cemerlang kelainan Upaya) pada sidang media di Bilik Persidangan Canselori, Aras 6, Bangunan Canselori, USM - Foto NSTP/MIKAIL ONG
Ooi Ivan, 24, menerima Anugerah Pingat Emas USM (Anugerah bagi graduan cemerlang kelainan Upaya) pada sidang media di Bilik Persidangan Canselori, Aras 6, Bangunan Canselori, USM - Foto NSTP/MIKAIL ONG
 
Siti Aminah Mohd Yusof
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

GEORGETOWN: Graduan autisme Ooi Ivan, 24, tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk menempa kejayaan sehingga dinobat sebagai penerima Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Konvokesyen ke-60 universiti itu.

Ivan yang turut didiagnosis menghidap Gangguan Hiperaktif Defisit Perhatian (ADHD) turut bersyukur dapat menamatkan pengajian mengikut masa yang ditetapkan dengan meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.72 biarpun berdepan masalah sukar menumpukan perhatian sewaktu di dalam kelas.

"Saya terhutang budi dengan kakitangan USM yang sangat berdedikasi dan menyediakan persekitaran baik untuk pelajar OKU dan rasanya saya tidak akan sampai ke tahap ini tanpa bantuan mereka.

"Selain itu, pensyarah yang membuat penilaian ada menyatakan biarpun saya kelihatan tidak dapat menumpukan perhatian tetapi saya memahami apa yang ingin disampaikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua itu turut gemar membaca akhbar berbahasa Melayu sejak di bangku sekolah dan masih kerap membeli surat khabar versi cfizikal sehingga sekarang.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata beliau sudah selesai menjalani pratikal di sekolah lamanya iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Ling Butterworth dan berharap dapat mengejar impiannya untuk menjadi seorang pendidik.

Bekas Yang Dipertua Sekretariat Insan Istimewa USM itu turut berpandangan OKU mampu cemerlang dalam bidang yang diceburi dan menasihati golongan itu agar tidak berasa malu jika mereka perlu mengambil sedikit masa untuk menyempurnakan sesuatu dalam situasi diri yang tidak mengizinkan.

"Saya juga pernah mengalami episod gelap seperti keresahan akibat emosi tidak stabil ketika menghadapi peperiksaan mujur pihak universiti memberi kebenaran kepada saya untuk berada berasingan dengan pelajar lain.

"Sebagai insan yang disahkan berfungsi tinggi ada kalanya saya turut berdepan stigma masyarakat yang menyangka kami mampu melakukan semua perkara jadi jangan rasa malu untuk beritahu kalau rasa tidak okey atau jika perlu ambil masa untuk diri sendiri.

"Secara peribadi saya sendiri cenderung berkongsi rasa hati dengan keluarga, rakan-rakan termasuk pensyarah sebagai terapi," katanya yang memperoleh 5A+ 4A 1A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, penerima anugerah Pingat Emas Naib Canselor Farah Zahidah Abd Halim, 22, berkata kesibukan menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan USM tidak dijadikan alasan untuk mengabaikan pelajaran.

Lebih membanggakan anak ketiga daripada empat beradik itu merupakan penuntut wanita pertama dilantik untuk memegang jawatan tersebut bagi Kampus Kejuruteraan pada masa yang sama aktif menjalankan perniagaan dalam talian berasaskan khidmat fotografi dan cetakan yang masih bertahan sehingga kini.

"Alhamdulillah saya dapat melepasi cabaran sebagai pemimpin pelajar pada masa yang sama bergelut dalam bidang pengajian jurusan Kejuruteraan Kimia yang secara peribadi bukan suatu perjalanan yang mudah buat diri saya," ujarnya.

Terdahulu Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed, berkata sejumlah 7,282 graduan akan menerima ijazah masing-masing bermula dari 3 hingga 14 Disember.

Mereka terdiri daripada Profesor Emeritus seramai dua orang, Ijazah Tinggi Doktor Falsafah seramai (493), Sarjana (1,732), Ijazah Sarjana Muda (4,893) dan Diploma Kejurawatan sejumlah 69 penerima. - BERITA HARIAN ONLINE

 

  • Created on .
  • Hits: 439

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024