USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: KEMBAR TIGA PELAJAR CEMERLANG SAMBUNG PENGAJIAN DI USM

https://origin.bharian.com.my/berita/pendidikan/2022/10/1009916/kembar-tiga-pelajar-cemerlang-sambung-pengajian-di-usm

Siti Aminah Mohd Yusof
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa menjalankan fungsi Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Narimah Samat (kiri) berbual bersama tiga beradik kembar Mohamed Azwan Dawlath, Mohamed Azrul Dawlath dan Mohamed Azmin Dawlath, di Dewan Utama Pelajar (C) di USM, Pulau Pinang, hari ini. NSTP/Mikail Ong
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa menjalankan fungsi Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Narimah Samat (kiri) berbual bersama tiga beradik kembar Mohamed Azwan Dawlath, Mohamed Azrul Dawlath dan Mohamed Azmin Dawlath, di Dewan Utama Pelajar (C) di USM, Pulau Pinang, hari ini. NSTP/Mikail Ong

GEORGETOWN: Tiga beradik kembar yang tidak pernah berpisah sejak kecil bersyukur kerana dapat bersama-sama menyambung pengajian dalam jurusan Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Mohamed Azwan, 22; Mohamed Azmin, 22; dan Mohamed Azrul, 22, turut menjadi pelajar cemerlang dengan masing-masing mendapat nilai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.71, 3.69 dan 3.55 ketika menuntut dalam Diploma Perakaunan di Politeknik Seberang Perai, dekat sini.

Anak kepada pasangan Dawlath Mohamed Ahmad, 57, dan Nasirabanu S Inayadulla, 53, itu juga berkongsi cita-cita sebagai pendidik, selain meminati subjek yang sama iaitu perakaunan dan matematik.

Mohamed Azmin yang juga kembar 'sulung' berkata, mereka yang mempunyai dua abang turut aktif dalam sukan bola sepak dan olahraga serta menyifatkan keakraban ikatan yang terjalin `ibarat isi dengan kuku'.

"Alhamdulillah, kami juga ditempatkan di asrama yang sama iaitu Desasiswa Restu dengan saya dan Azrul akan tinggal sebilik manakala bilik Azwan bersebelahan sahaja dengan bilik kami berdua.

"Sejak dari Sekolah Kebangsaan Seri Permai, Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda hingga politeknik, kami memang tidak pernah berpisah, cuma berlainan kelas dan sudah terbiasa melakukan apa juga aktiviti bersama-sama.

"Tiada pula istilah jemu asyik 'berkepit' atau melihat muka antara satu sama lain kerana ikatan kami memang kuat, kadang-kadang sakit pun sama-sama," katanya ketika ditemui pemberita di kampus USM, hari ini.

Azmin berkata, bapa mereka adalah guru tuisyen dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sains manakala ibu mereka suri rumah dan sudah menjadi impian tiga beradik itu sejak di bangku sekolah untuk menyambung pengajian di USM yang terletak tidak jauh dari rumah mereka di Bayan Baru di sini.

"Kami beruntung kerana diberi rezeki dan peluang untuk sentiasa berada bersama-sama dan saling tolong menolong walaupun sedar keadaan ini tidak selamanya kekal begini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Prof Datuk Narimah Samat, berkata seramai 4,283 calon lepasan Matrikulasi, Asasi, Diploma dan setaraf menerima tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma di USM bagi kemasukan sidang akademik 2022/2023 kali ini.

Beliau yang menjalankan fungsi tugas Naib Canselor USM berkata, USM turut menyediakan 1,000 kit keperluan asas percuma kepada penuntut baharu kelompok B40 bagi meringankan beban kewangan mereka.

"Kit keperluan asas ini merangkumi selimut, cadar, bantal, baldi, beg kanvas dan keperluan lain bagi memudahkan penuntut baharu memulakan kehidupan sebagai mahasiswa dan mahasiswi di USM," katanya.

- Sumber daripada origin.bharian.com.my

 

  • Created on .
  • Hits: 381

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024