USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: MATA JADI JULING KERANA TERLALU KERAP GUNA GAJET

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/09/883740/mata-jadi-juling-kerana-terlalu-kerap-guna-gajet-metrotv

Siti Rohana Idris
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 
PROFESOR Dr Shatriah Ismail (kiri) berbual dengan Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan ketika pelancaran perkhidmatan Laser Refraktif di Hospital USM di sini. FOTO Siti Rohana Idris
DR Faisal Rafiq Mahamd Adikan (kiri) mencuba mesin untuk rawatan mata ketika pelancaran perkhidmatan Laser Refraktif di Hospital USM di sini. FOTO Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Penggunaan gajet untuk tujuan sosial secara berterusan boleh mengakibatkan bola mata tidak selari seterusnya menjadi juling.

Situasi itu banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dan bilangan kes terbabit meningkat mendadak selepas pandemik Covid-19 akibat penggunaan gajet secara berterusan dalam tempoh itu.

Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Shatriah Ismail berkata, sejak 2018 sehingga kini, Hospital USM sudah menerima 30 pesakit di negeri ini untuk menjalani pembedahan membetulkan semula bola mata.

"Seramai 30 pesakit berusia 10 hingga 15 tahun datang untuk mendapatkan rawatan sejak 2018 dengan 10 daripadanya sudah menjalani pembedahan.

"Pesakit yang dirujuk kebanyakannya datang dalam keadaan satu mata memandang lurus dan satu lagi masuk ke dalam atau menjadi juling.

"Walaupun kita sudah cuba secara konservatif tetapi mata tidak kembali ke kedudukan asal seterusnya pesakit terpaksa menjalani pembedahan," katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau ditemui pada pelancaran Perkhidmatan Laser Refraktif disempurnakan oleh Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Dr Shatriah berkata, peningkatan jumlah pesakit yang mendadak agak membimbangkan dan kebimbangan yang sama dilihat apabila bukan sahaja kanak-kanak dan remaja berdepan isu itu, malah ia turut membabitkan bayi.

Pembelajaran dalam talian tanpa ada waktu senggang juga boleh mempengaruhi kepada masalah itu kerana ada dalam kalangan murid atau pelajar menggunakan telefon bimbit yang mempunyai skrin kecil.

"Situasi ini agak membimbangkan dan sebab itu perlu ditekankan kepada pelajar, murid, ibu bapa dan guru supaya kawal daripada segi penggunaan gajet.

"Ia termasuk untuk kanak-kanak yang belum bersekolah.

"Penggunaan gajet untuk tujuan sosial perlu dihadkan dan jangan menggunakan gajet secara berterusan, sebaliknya perlu ada waktu senggang," katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2022 @ 1:20pm

-Sumber daripada hmetro.com.my

  • Created on .
  • Hits: 177

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024