BERITA DALAM TALIAN: PALING MUDA 3 BULAN
myMetro
Paling muda 3 bulan
Zuhainy Zulkiffli dan Muhamaad Razis Ismail
Disiarkan pada: September 17, 2022 @ 8:00am
DR Normaliza melakukan kajian kandungan dalam cecair vape di Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Georgetown. - Gambar NSTP/DANIAL SAAD
Kebanyakan kanak-kanak yang dilapor terbabit kes keracunan cecair rokok elektronik atau vape berusia satu hingga empat tahun.
Pendedahan Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia (USM) itu turut menerima kes membabitkan pesakit paling muda berusia tiga bulan yang didapati terminum cecair itu.
Pegawai Farmasi, Sulastri Samsudin berkata, majoriti pesakit kecil itu terminum cecair isian semula vape diletakkan berhampiran dan mudah dicapai kanak-kanak.
Bagaimanapun, Sulastri berkata, kebelakangan ini pihaknya turut mengesan banyak panggilan membabitkan kes kanak-kanak seawal usia satu tahun cuba menghisap vape generasi terkini dalam bentuk Pod yang mengandungi nikotin pada kepekatan tinggi.
"Hampir kesemua pesakit yang dilapor mengalami gejala keracunan akut nikotin seperti muntah, sakit perut, cirit-birit dan pening kepala.
"Ia memberi gambaran bahawa kemungkinan besar cecair yang diminum itu mengandungi nikotin serta menyalahi undang-undang ditetapkan," katanya ditemui di PRN USM di sini.
Berdasarkan peruntukan undang-undang semasa, sebarang sediaan atau produk yang mengandungi nikotin adalah racun kumpulan C yang dikawal mengikut Akta Racun 1952 dan hanya boleh diberi oleh golongan profesional kesihatan serta perlu didaftar sebagai ubat.
Mengulas lanjut Sulastri berkata, terdapat juga kes yang menunjukkan gejala teruk seperti sawan, gangguan metabolik darah dan gangguan psikologi disyaki akibat penambahan bahan terlarang seperti psilocybin iaitu sejenis dadah berbahaya.
Katanya, sejak Talian Kecemasan Keracunan kes berkaitan vape dibuka pada 2015, PRN sudah menerima sebanyak 57 panggilan di Malaysia dengan peningkatan ketara bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini.
"Sebanyak 13 kes dilapor pada 2020 manakala 2021 kesnya bertambah dua kali ganda kepada 21 kes dan pada tahun lalu juga, PRN menerima notifikasi satu kes pendedahan vape yang kemudian dikenali sebagai penyakit paru-paru berkaitan produk rokok elektronik atau EVALI pertama dikesan di Malaysia.
"Produk vape ini sangat mudah didapati termasuk pembelian secara dalam talian tanpa kawalan dengan bentuk lebih menarik, kecil dan unik yang menyebabkan kanak-kanak tertarik.
"Ada juga vape yang tidak mengeluarkan asap dan berbau mengikut perisa tidak seperti rokok menyebabkan ibu bapa tidak dapat mengesan mengenai tabiat anak mereka.
"Jika tiada peruntukan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dan pelaksanaan Generation End Game (GEG) atau generasi penamat, kita akan mempunyai generasi depan dengan ketagihan nikotin.
"Keadaan ini sudah dijangka penyelidik di PRN dan jika tidak ditangani, kehidupan kanak-kanak generasi depan akan berakhir sebagai perokok tegar," katanya lagi.
Sementara itu, Pegawai Sains, Dr Normaliza Abdul Manaf berkata, dalam kebanyakan kes membabitkan pendedahan vape, kandungan cecair tidak dapat dikenal pasti melainkan bahan asas yang terdapat pada label iaitu propilena glikol, gliserin dan bahan perisa.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengiktiraf Makmal Toksikologi PRN (PRNLab) sebagai makmal bagi menjalankan analisis bahan kimia terhadap cecair vape membabitkan kes EVALI bagi pemantauan serta mengenal pasti bahan toksik berkaitan dengannya.
Katanya, ujian makmal spesifik yang diminta bagi pengesahan EVALI termasuk pengesahan propilena glikol, gliserin, gliserol dan nikotin selain ujian makmal tambahan vitamin E-asetat dan logam berat.
"PRNLab pernah menerima 11 sampel cecair dari KKM susulan penemuan kemungkinan kes EVALI dan keputusan analisis makmal mendapati kesemua sampel mengandungi propilena glikol, gliserol dan nikotin selain beberapa daripadanya mengandungi bahan perisa seperti vanillin, ethyl vanillin, ethyl maltol dan benzyl alkohol.
"Ada sampel yang dianalisis tidak dapat dikesan bahan perisanya seperti yang tertera pada label botol dan ada juga bahan perisa dikesan dalam sampel, tidak sama dengan yang dilabel pada botol," katanya lagi.
Menurut Dr Normaliza, kesan sampingan terhadap semua bahan yang dikesan dalam cecair vape ternyata banyak mendatangkan kesan negatif kepada tubuh terutama paru-paru.
Penyelidik di PRNLab sedia menerima sampel bagi pengesanan nikotin dan lain-lain bahan berkaitan dalam sampel cecair vape atau rokok elektronik dengan menghubungi emel
Nampak cool tapi paru-paru bocor!
"Saya menghisap vape untuk bermain dengan asap dan nampak cool sahaja namun tidak sangka akan mengalami pneumothorax (paru-paru bocor mengejut) yang hampir meragut nyawa," kata Muhammad Faizin Azmi, 24.
Akibat kejadian itu anak bongsu daripada lima beradik ini terpaksa menjalani dua pembedahan dan terlantar selama sebulan di hospital berikutan paru-paru tidak melekat di tempat yang sepatutnya.
Biarpun sudah dibenarkan pulang dia masih perlu bergantung pada chest drain untuk memastikan paru-parunya kembali berada pada kedudukan normal.
Muhammad Faizin mengakui mula menghisap rokok seawal usia 14 tahun dan selepas enam tahun mengambil keputusan menggunakan vape.
"Pada ketika itu, pod vape tak pernah lekang di tangan. Bangun sahaja daripada tidur, benda pertama yang saya cari adalah vape.
"Oleh kerana vape mudah dibawa dan hisap di mana-mana serta berbau wangi, saya menghisap (vape) lebih kerap," katanya.
Katanya, selepas 10 tahun, dia tidak menyangka tindakannya itu memberi kesan kepada dirinya apabila mengalami pneumothorax tanpa sebarang gejala.
"Pada pagi 12 Ogos lalu, secara tiba-tiba dada saya sakit dan sukar untuk bernafas sebelum terus dikejarkan ke Hospital Putrajaya. Pemeriksaan lanjut mendapati saya disahkan mengalami pneumothorax.
"Saya hanya sedar pada waktu petang dah terkejut apabila terdapat tiga kesan tebukan di kiri badan. Pemeriksaan lanjut mendapati paru-paru saya tidak melekat di tempat yang sepatutnya dan memerlukan pembedahan," katanya.
Jelasnya, peristiwa yang hampir meragut nyawanya itu benar-benar menginsafkan kerana tidak dapat melakukan banyak aktiviti.
"Vape ini memang buatkan kita berhenti merokok, tapi dia bagi kita kesan sampingan yang lain pula.
"Sakitnya tak boleh nak gambarkan, tak selesa sebab rasa ada benda asing dalam badan disebabkan tiub yang ditebuk masuk ke dalam dada ni. Tidur pun tak boleh baring, kena duduk macam dalam kapal terbang tu. Bila bergerak rasa menyucuk dan berdenyut.
"Jadi beringatlah, jangan ikut trend dan nampak vape ini cool. Tak perlu pun nak ikut kawan atau saja nak main asap untuk nampak cool, dah kena tebuk nanti baru tau cool atau tidak," katanya.
Sementara itu, bagi Shamsul Rizal Ramli, 46, akibat tabiat merokok sejak usia 13 tahun, dia disahkan menghidap kanser peti suara (larink) tahap tiga.
"Pada awal 2014 saya mengalami masalah sukar bercakap dan suara serak teruk hingga tidak dapat mengeluarkan suara. Pemeriksaan lanjut mendapati ada tumor di peti suara dan ujian biopsi mendapati saya mengalami kanser peti suara.
"Saya disarankan menjalani kimoterapi dan radioterapi namun saya tidak pergi. Selepas sebulan saya mengalami sesak nafas dan pemeriksaan lanjut, terdapat ketumbuhan membesar hingga menutup saluran pernafasan.
"Saya tiada pilihan lain selain menjalani pembedahan membuang keseluruhan peti suara dan selepas selesai sahaja menjalani pembedahan itu saya tidak boleh bercakap," katanya.
Jelasnya, pada ketika itu mengalami tekanan mental dan emosi apabila nikmat untuk bercakap ditarik.
"Tidak lama kemudian, saya menjalani pembedahan memasukkan peti suara tiruan. Saya masih boleh bercakap, tidak seperti dahulu.
"Ini implikasi yang saya hadapi. Saya nasihatkan mereka yang merokok dan vaping supaya berhenti dan jadikan saya sebagai contoh. Jangan dah kena penyakit macam saya baru nak menyesal," katanya.
MUHAMMAD Faizin terpaksa menggunakan chest drain akibat masalah paru-paru dialami selepas menderita pneumothorax.
- Created on .
- Hits: 365